Perintah larang penghantaran pulang PATI Myanmar diketepikan - Utusan Malaysia

Perintah larang penghantaran pulang PATI Myanmar diketepikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan perintah terdahulu yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar pulang 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Myanmar ke negara asal.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan dua yang lain untuk mengetepikan perintah larangan bertarikh 9 Mac 2021 yang dikeluarkan oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan).

Pemohon-pemohon mengemukakan alasan antara lain tahanan-tahanan Myanmar yang menjadi subjek dalam permohonan semakan kehakiman telah memberi maklum balas dan meluahkan hasrat kepada pegawai-pegawai Imigresen yang bertugas di depoh-depoh tahanan Imigresen untuk dibenarkan balik ke Myanmar.

Pada 24 Februari 2021, Hakim Mariana mengeluarkan perintah sementara (interim) yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar mereka berkuat kuasa sehingga 9 Mac 2021.

Hakim berkenaan pada 9 Mac 2021 turut membenarkan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan penghantaran pulang 1,200 pelarian itu ke negara asal.

Dalam permohonan semakan kehakiman, dua NGO, Asylum Access Berhad serta Aimal Sdn. Bhd. dinamakan sebagai pemohon-pemohon.

Selain Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri turut dinamakan sebagai responden-responden.

Permohonan semakan kehakiman itu masih dalam peringkat pengurusan kes dan belum didengar di Mahkamah
Tinggi.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua NGO itu diwakili oleh New Sin Yew dan Lim Wei Jiet manakala pihak kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan M. Kogilambigai.

Pada 23 Februari 2021, Jabatan Imigresen menghantar pulang 1,086 pendatang secara sukarela menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak.

Mereka yang dihantar pulang tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka sebaliknya terlibat dalam pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, memalsukan dokumen, tinggal lebih masa selain terlibat
dalam kesalahan jenayah lain.

Ekoran itu, Asylum dan Aimal memfailkan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah membatalkan keputusan kerajaan menghantar pulang kesemua pelarian itu termasuk kanak-kanak yang ditahan di pusat-pusat tahanan imigresen ke Myanmar melalui kapal laut.

Semakan kehakiman itu antara lain memohon agar keputusan kerajaan menghantar balik individu-individu yang telah diiktiraf oleh United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) sebagai pelarian (“refugee”), digantung sehingga pelupusan pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman.

Pemohon memohon agar keputusan responden menghantar balik kanak-kanak dan ibu bapa mereka atau salah seorang daripada ibu bapa mereka masih berada di Malaysia, digantung.

Dakwa pemohon, jika kesemua pelarian itu dihantar pulang ke Myanmar, mereka akan mengalami ancaman nyawa berikutan Kerajaan Myanmar atau tentera negara itu didakwa mendiskriminasi dan mengancam komuniti Muslim di negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN