IPOH: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan pada kadar satu setengah bulan gaji dan minimum RM2,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian bantuan khas itu termasuk Ex-Officio, semua guru lantikan Negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ) serta Pekerja Sambilan Harian (PSH).
Menurutnya, walau bagaimanapun, pemberian ini dikecualikan kepada Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri.
Katanya, pembayaran sepenuhnya akan dibuat pada tahun semasa.
“Bantuan khas kewangan ini adalah penghargaan atas dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi serta kesediaan berkorban masa dan tenaga dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 negeri Perak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menghargai komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada penjawat awam di negeri ini.
“Justeru, kerajaan negeri menyediakan RM2 juta bagi tuntutan Bayaran Awal Gantian Cuti Rehat kepada penjawat awam yang layak, RM2 juta untuk Insentif Khas Pesara dan RM0.05 juta untuk Insentif Mengerjakan Umrah atau Keluar Negara,”katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut mengunjurkan RM100 juta sumbangan terkumpul Badan Berkanun Negeri bagi tempoh 10 tahun mulai 2023 hingga 2032.
“Ini bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan perolehan hasil kerajaan negeri yang kini banyak tertumpu kepada hasil cukai,” katanya. – UTUSAN








