IPOH: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Perak 2023 berjumlah RM1.19 bilion, meliputi perbelanjaan pembangunan RM395 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan Belanjawan negeri 2023 itu dirangka berdasarkan unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan sebanyak RM1.16 bilion.
“Jumlah ini terdiri daripada Hasil Cukai RM549.2 juta, Hasil Bukan Cukai RM393.9 juta dan Terimaan Bukan Hasil RM190.5 juta.
“Jumlah Hasil yang terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM1.13 bilion, iaitu peningkatan RM100.7 juta berbanding sasaran tahun 2022.
MENINGKAT
“Manakala Anggaran Terimaan Pembangunan Tahun 2023 meningkat kepada RM25.4 juta berbanding RM22.5 juta pada tahun 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Menurut Saarani, Belanja Bagi Maksud Mengurus berjumlah RM794 juta terdiri daripada belanja Emolumen RM380.1 juta, Perkhidmatan dan Bekalan RM294.1 juta, Pembelian Aset RM14.6 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM99.2 juta serta Lain-lain Perbelanjaan RM6.0 juta.
Beliau berkata, Belanja Bagi Maksud Pembangunan Tahun 2023 ditambah RM93.0 juta berbanding Belanjawan Tahun 2022.
Katanya, peningkatan itu mengambil kira keperluan yang perlu dibelanjakan demi manfaat rakyat secara keseluruhan.
KESEJAHTERAAN
“Asbab utama peningkatan adalah komitmen bagi projek fizikal merangkumi pembinaan, pembaikan dan kerja naik taraf pelbagai infrastruktur dan fasiliti serta program kesejahteraan rakyat.
“Daripada unjuran Hasil dan Perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 akan ditutup dengan jangkaan defisit RM30.0 juta,” katanya.
Saarani berkata, menyedari realiti ketidaktentuan iklim ekonomi yang masih menyelubungi kehidupan rakyat, kerajaan negeri merangka pelbagai program dan projek ke arah mencapai kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dengan menyediakan peruntukan bagi tujuan kesejahteraan rakyat berjumlah RM380.9 juta.
Beliau berkata, RM42.3 juta disediakan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meliputi RM36.4 juta Bantuan Am dan kerajaan negeri mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan Isi Rumah Tahun 2019 iaitu RM1,169 atau PGK Makanan per kapita RM310 sebagai syarat baru menggantikan PGK Makanan 2016.
“Memahami keperluan untuk menyantuni rakyat yang terkesan dengan himpitan ekonomi terutamanya golongan sasar B40, kerajaan negeri meningkatkan dana bagi pelaksanaan Program Kad Perak Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Program Kad Perak Prihatin kepada RM25.2 juta.
“Jumlah itu meningkat RM2.4 juta berbanding tahun 2022. Kadar Bantuan Kad Makanan telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 sebulan untuk setiap penerima manakala Kad Kesihatan kekal pada kadar RM150 setahun. Program ini dijangka akan dapat memanfaatkan 20,000 penerima.
“Pada masa yang sama, peruntukan bagi Program Bantuan Kotak Makanan ditambah RM2 juta menjadi RM5 juta pada tahun hadapan. Program ini akan diselaraskan oleh Yayasan Perak,” katanya.
PENDIDIKAN
Saarani berkata, selaras dengan kepentingan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, agenda pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan kerajaan negeri dengan penyediaan peruntukan RM21.4 juta bagi tujuan bantuan pendidikan di pelbagai peringkat.
“Di bawah pendidikan peringkat sekolah, kerajaan negeri menyediakan RM5 juta untuk bantuan pendidikan per kapita kepada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Mubaligh untuk Sekolah SUWA.
“RM2 juta disediakan bagi bantuan per kapita kepada pelajar Sekolah Tahfiz dan Pondok dan RM1 juta bagi tujuan Biasiswa Menteri Besar yang diagihkan kepada pelajar B40 sekolah rendah dan menengah yang cemerlang dalam akademik,” katanya. – UTUSAN








