Penduduk rayu bina ban lebih kukuh

Penduduk rayu bina ban lebih kukuh

PENDUDUK melihat keadaan air sungai yang mengalir masuk ke Kampung Kunci Air 12 di Pasir Salak, Perak, baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Penduduk Kampung Kunci Air 12 di sini, merayu pihak berkaitan supaya membina ban atau penahan banjir yang lebih kukuh bagi mengelakkan banjir kilat daripada berulang di kampung mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, wakil penduduk, Arbal Ahmad, 48, berkata, mereka bimbang kerana ban penahan banjir pecah baru-baru ini menyebabkan air daripada sungai berhampiran melimpah masuk ke kampung itu.

Katanya, mereka bimbang air akan melimpah jika hujan lebat dan paras air sungai meningkat.

“Tahun ini kampung kami sudah kerap dilanda banjir kilat disebabkan ban penahan banjir di belakang rumah penduduk pecah sudah sejak dua bulan lalu. Ban sedia ada yang dibina lebih 10 tahun lalu sudah tidak sesuai kerana keadaan tanah di kampung ini lebih rendah daripada paras sungai. Perkara ini sudah di maklumkan kepada pihak yang berkenaan tetapi kami kesal kerana belum ada sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Arbal berkata, terdapat enam buah rumah dengan bilangan penduduk kira-kira 50 orang terdedah kepada banjir kilat jika air sungai melimpah melalui ban yang pecah.

“Apatah lagi sekarang cuaca tidak menentu, ini menyebabkan kami di kampung ini bimbang banjir boleh berlaku pada bila-bila masa terutama pada waktu malam,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian tidak diingini berlaku, pihak yang berkenaan digesa membina ban baharu yang lebih kukuh bagi mengelak limpahan air sungai masuk ke kampung mereka.

“Kampung kami terletak berdekatan dengan sungai, lebih kurang 30 kaki jaraknya dari sungai, bermakna jika air sungai melimpahi tebing, kampung kami antara yang berisiko dilanda banjir,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN