Pemandu lori didenda RM6,000 pindah lembu tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Pemandu lori didenda RM6,000 pindah lembu tanpa kebenaran

ROSMADIE Ramli (memegang telefon) hadir di Mahkamah Majistret Selayang bagi menghadapi pertuduhan memindahkan 20 ekor lembu tanpa kebenaran. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang pemandu lori didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan 20 ekor lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.

Majistret Nor Hafizah Rajuni turut memerintahkan Rosmadie Ramli, 32, dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Denda itu kemudian dijelaskannya.

Menurut pertuduhan, Rosmadie selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa memindahkan 18 ekor lembu yang masih hidup, seekor lembu yang kelihatan lemah dan tidak bermaya dan bangkai seekor lembu menggunakan lori.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pukul 1.10 pagi, 7 Ogos lalu di tepi jalan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bersebelah SMK Seri Gombak di sini tanpa kebenaran bertulis Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

OKS didapati melanggar Perintah 4(1(a) Perintah Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut (Negeri Selangor) 2001.

Sehubungan itu, pemandu lori tersebut didakwa mengikut Seksyen 36(1(c) Akta Binatang 1953 dan dihukum di bawah Seksyen 36(7)akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000.

Rosmadie yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan rendah terhadapnya kerana mempunyai isteri dan dua anak.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran memohon hukuman setimpal kerana lembu-lembu yang dipindahkan itu diserang penyakit kuku dan mulut (FMD) dan boleh merebak kepada ternakan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN