Peguam didakwa lagi, gubah wang haram RM937,000 - Utusan Malaysia

Peguam didakwa lagi, gubah wang haram RM937,000

Peguam didakwa
MOHD. Zawahid Ya dibawa polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang peguam didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan kes pengubahan wang haram bernilai RM937,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Zawahid Ya, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid. 

Mengikut tujuh pertuduhan itu, dia didakwa mengeluarkan cek berjumlah RM937,000 daripada akaun sebuah bank milik Tetuan Mohd. Zawahid & Co ke beberapa akaun bank milik tertuduh, syarikat dan individu lain.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan Mohd. Zawahid dekat sebuah cawangan bank di The Strand, Petaling Jaya pada 14 hingga 30 Ogos 2017.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong menawarkan kos ikat jamin tertuduh berjumlah RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Justeru, tertuduh yang diwakili peguam Dir Kheizwan Kamarudin menganggap kos itu sebagai munasabah biarpun agak berat.

Emilia Kaswati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 dan pasport turut diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Januari depan.

Pada 28 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Mohd. Zawahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan pecah amanah berjumlah RM1.52 juta bagi pembelian hartanah pada 2017.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa dengan curang telah melakukan pecah amanah RM1.52 juta yang diamanahkan kepadanya dan perbuatan itu dilakukan firma guamannya sendiri di Subang Bestari di sini antara 9 Mei hingga 11 Ogos 2017.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta denda mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya