ISKANDAR PUTERI: Pergaduhan, gangguan bunyi bising dan masalah kebersihan adalah antara isu gangguan paling banyak direkodkan melibatkan pekerja asing di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, antara lokasi tumpuan kejadian berkenaan adalah kawasan penempatan asrama pekerja asing.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima banyak aduan berkenaan isu gangguan berpunca daripada pekerja asing, khususnya Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).
“Bahagian Penguatkuasaan PBT sering menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dalam membasmi masalah kacau ganggu dalam kalangan pekerja asing dengan penduduk tempatan terutama di kawasan perumahan pekerja.
“Operasi penguatkuasaan dijalankan adalah berdasarkan aduan diterima dan pemantauan berkala yang dijalankan PBT dan JTK,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd. Fuad Tukirin (BN-Bukit Naning) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, semalam.
Mohd. Hairi berkata, Akta Standard-Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 menggariskan majikan perlu mematuhi kriteria dalam menempatkan pekerja selain mematuhi peraturan berkaitan.
“Statistik Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) juga menyatakan bahawa dua daripada tiga kemalangan maut yang berlaku setiap hari adalah berpunca daripada kemalangan individu yang berulang-alik ke tempat kerja,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Hairi berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membincangkan hala tuju pembangunan belia dan sukan di negeri ini.
“Adalah diharapkan pertemuan itu akan dapat memastikan bantuan dan peruntukan diperlukan disalur dalam memastikan inisiatif Agenda Orang Muda Johor berjaya mencapai matlamat yang diharapkan,” katanya. – UTUSAN