Pastikan tidak berlaku gangguan akses komunikasi, Internet

Pastikan tidak berlaku gangguan akses komunikasi, Internet di kawasan banjir

TEO Nie Ching (kiri) mendengar penerangan daripada Kamal Mokhtar (kanan) sempena lawatan di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia di Bandar Baru Uda, Johor Bahru i.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU :  Kerajaan mengambil langkah bersedia sebagai persediaan kemungkinan berlaku gangguan akses komunikasi dan rangkaian Internet di Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir besar ketika ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, setakat ini akses komunikasi dan rangkaian internet di kedua-dua negeri di Pantai Timur itu masih dalam keadaan baik dan terkawal.

Sebagai persediaan, katanya, syarikat telekomunikasi sudah bersedia menyediakan generator bergerak di menara telekomunikasi masing-masing sekiranya bekalan elektrik terputus akibat banjir.

“Generator bergerak yang disediakan syarikat komunikasi membolehkan menara komunikasi terus beroperasi, maka akses komunikasi dan internet di kawasan dilanda banjir tidak akan terganggu.

“Bagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang padat, yang mana berkemungkinan berdepan isu talian komunikasi agak perlahan, kami sudah sediakan ‘celular mobile’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah APM Johor, Kamal Mokhtar.

Semalam, akhbar melaporkan jumlah keseluruhan mangsa banjir di tujuh negeri mencatatkan penurunan kepada 50,861 orang melibatkan 14,635 keluarga setakat jam 6 pagi Jumaat berbanding 66,197 orang.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu merekodkan jumlah tertinggi seramai 25,895 mangsa diikuti Kelantan (24,690), Sarawak (104), Selangor (57), Johor dan Perak (46) serta Pahang (23).

Dalam pada itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, pihak kementerian telah mengadakan perbincangan bersama pelbagai syarikat telekomunikasi berhubung perkara itu.

Beliau berkata, akses komunikasi dan rangkaian internet penting dalam menyampaikan amaran bencana alam dapat yang singkat kepada penduduk di kawasan terjejas.

“Setakat ini, kami tidak terima apa-apa laporan tentang gangguan akses komunikasi dan rangkaian internet di Terengganu dan Kelantan.

“Sekiranya ada laporan gangguan komunikasi termasuk talian internet terjejas, sila kemukakan kepada kementerian segera, kami akan teliti keperluan berkenaan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya