Pakar antarabangsa bebas perlu dilantik semak projek PTMP - Utusan Malaysia

Pakar antarabangsa bebas perlu dilantik semak projek PTMP

LIM Mah Hui (tengah); Mohideen Abdul Kader (kanan) dan R. Meenakshi (kiri) dalam sidang akhbar berkaitan isu PTMP di pejabat CAP di Georgetown, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penang Forum, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar menyarankan Kerajaan Pusat mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dengan penyertaan pakar antarabangsa bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung projek itu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Dr. Lim Mah Hui berkata, salah satu pakar antarabangsa yang boleh dipertimbangkan ialah Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (ITDP) yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Katanya, institusi yang bukan berasaskan keuntungan itu mempunyai kepakaran tinggi dalam mencari penyelesaian terbaik bagi projek-projek mega yang menelan kos tinggi.

”Kami secara konsisten menegaskan projek-projek seperti PTMP menelan kos yang amat besar dan tidak mapan.

”Kami berharap usaha Kerajaan Pusat untuk berhemah dalam perbelanjaan akan diperluaskan kepada projek mega yang tidak mapan dari segi ekologi dan kewangan di Pulau Pinang, justeru perlu memastikan PTMP tertakluk kepada semakan pakar antarabangsa yang benar-benar bebas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi.

PTMP dirangka oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengatasi masalah trafik di negeri itu dan dijangka menelan perbelanjaan sebanyak RM46 bilion.

Untuk membiayai projek itu, kerajaan negeri akan melaksanakan projek tambak laut Penang South Islands (PSI) dan projek berkenaan mendapat kritikan banyak pihak kerana didakwa merosakkan alam sekitar.

Menurut Mah Hui, penglibatan pakar antarabangsa bebas bagi menilai projek PTMP itu juga dapat menamatkan pertikaian mengenai projek berkenaan.

”Sudah tentu, permintaan ini tidak terlalu berat memandangkan puluhan bilion ringgit dipertaruhkan bagi melaksanakan projek ini,” katanya.

Tambah Mah Hui, pihaknya juga akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kerajaan Pusat dapat mengkaji semula projek mega yang melibatkan berbilion ringgit dana awam seperti PTMP.

Dalam pada itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Kerajaan Pusat perlu menolak projek mega seperti PTMP kerana berisiko tinggi kepada alam sekitar dan rakyat.

”Sekiranya pembangunan mahu dijalankan, tanah-tanah di kawasan Seberang Perai masih ada, tidak perlu melibatkan tambakan laut yang akan menjejaskan keselamatan makanan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya