Pahang rancang tubuh Dana Belia bantu anak muda - Utusan Malaysia

Pahang rancang tubuh Dana Belia bantu anak muda

WAN Rosdy Wan Ismail ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, Kampung Sepayang di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Kerajaan negeri merancang menubuhkan Dana Belia bagi membantu anak muda berusia 18 tahun dan ke atas yang benar-benar memerlukan bantuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ilham Dana Belia itu tercetus susulan keluhan sebahagian anak muda yang memohon supaya kerajaan negeri membantu mereka.

“Dana Belia ini bertitik tolak daripada keluhan sebahagian anak-anak muda yang minta kerajaan negeri membantu mereka kerana saya mendapati ramai belia yang masih memerlukan bantuan sokongan kerajaan untuk permulaan sesuatu perniagaan atau apa-apa aktiviti yang mereka ingin jalankan.

“Oleh sebab itu saya akan menubuhkan satu dana dengan peruntukan tertentu dan kita akan bagi kepada mereka yang merupakan kumpulan sasar dan dengan adanya dana ini saya percaya sedikit sebanyak akan membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Infrastruktur Agrotourism Paya Laka, Kampung Sepayang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, pelaksanaan dana itu memerlukan perincian lanjut sebelum ia dilaksanakan bermula tahun depan.

“Ia akan bermula tahun depan, tidak mungkin seawal Januari, sebab ini melibatkan kewangan kerajaan negeri jadi ia harus diperhalusi kerana duit kerajaan, duit rakyat tidak boleh belanja begitu sahaja.

“Kita kena kaji dulu kumpulan sasaran, berapa orang 18 tahun sampai berapa tahun sebab belia ini bukan semua memerlukan bantuan kerajaan, ada golongan belia yang telah mampu berdiri sendiri, telah mulakan perniagaan.

“Kumpulan yang kita nak bantu ini adalah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan daripada kerajaan. Saya kena bincang dengan pegawai kewangan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri dan rakan-rakan Exco tak boleh buat keputusan sendiri sebab ini melibatkan wang kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya