ROMPIN: Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) bagi melebarkan jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke daerah Rompin, Pekan, Raub dan Lipis.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan juga akan dibuat kepada MRL bagi membolehkan cadangan tersebut dapat direalisasikan.
“ECRL sambung ke Rompin itu cadangan, maknanya sekarang ini sudah ada jajaran dari Kelantan, Terengganu dan Bentong, Pahang sampai ke Kuala Lumpur.
“Kita tak mahu bila siap nanti berhenti di situ saja jadi kerajaan negeri bercadang, merancang jajaran itu dilebarkan ke Pekan, Rompin dan ke Raub serta Lipis. Tapi itu masih di peringkat cadangan dan kita akan buat permohonan kepada MRL,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Isu Air Bersih di Hotel Seri Malaysia di sini.
Projek berimpak tinggi sepanjang 665 kilometer yang merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 kilometer serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 kilometer dianggarkan menelan belanja berjumlah RM50.27 bilion dan dijadual siap Disember 2026.
Pembinaan membabitkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu manakala Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang, Selangor.
Setelah siap, projek itu dijangka beroperasi pada Januari 2027, ia boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun, dengan memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitkan enam gerabak. – UTUSAN