MUAR: Bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menuduh dirinya menyalahgunakan peruntukan bagi kegunaan parti sewaktu menggalas jawatan berkenaan.
Sebaliknya, tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu ini, kewujudan MPN hanyalah sebagai badan penasihat dan tidak terikat dengan sebarang dana mahupun peruntukan berikutan segala urusan kewangan perlu melalui Kabinet terlebih dahulu.
“Sewaktu saya memimpin MPN pun saya jalankan tugas pro bono (sukarela) dan tidak mengambil elaun satu sen pun.
“Keduanya MPN ini adalah badan penasihat sahaja, bukan eksekutif dan tiada peruntukan.
“Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi ini bodoh yang cakap kita ini ada peruntukan, semaklah berapa ratus juta kalau ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Perikatan Nasional Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh dekat sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Puad dalam kenyataan Facebook meminta Muhyiddin menjelaskan tentang butiran perbelanjaan dana MPN kerana menerima ratusan juta ringgit daripada Perdana Menteri serta menyatakan kewujudan majlis penasihat itu adalah suatu yang membazir.
Bagaimanapun Muhyiddin berkata, peranan MPN ketika itu hanyalah mengutarakan cadangan kepada pihak kerajaan untuk membantu memulihkan ekonomi negara dan keputusan lanjut terserah atas Perdana Menteri sama ada untuk bersetuju atau sebaliknya.
“Kalau ikutkan kiraan hari itu, kita ada 95 perkara, Kabinet semua sudah lulus dan semestinya ada implikasi kewangan. Itu soal kerajaan tapi bukan peruntukan diberi kepada MPN
“Kenapa dengan Puad Zarkashi ini? Di mana bukti yang tunjuk saya dapat duit berjuta-juta? Semua pembohongan penipuan.
“Jadi pada saya dia patut belajar. Sudah beberapa kali dia buat kenyataan tak betul semua tak betul pasal niat dia jahat.
“Saya tidak dapat peruntukan satu sen pun. Faktanya adalah MPN badan penasihat. Nak terima, terima. Tak nak tidak apa,” katanya. – UTUSAN