Masyarakat Islam diseru tunai kewajipan zakat, wakaf

Masyarakat Islam diseru tunai kewajipan zakat, wakaf – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (enam dari kanan) berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran Kempen Nihayatul Am Pembayaran Zakat, Wakaf dan Sedekah MAIPs Tahun 2022 di Pulau Batu Layang, Kuala Perlis, Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh masyarakat Islam di negeri ini agar dapat menunaikan kewajipan ibadah zakat, wakaf dan sedekah.

Selain itu, baginda bertitah, masyarakat Islam juga disaran agar dapat memberikan sumbangan bagi menyucikan harta tidak patuh syariah menerusi Tabung Bara’atuz-Zimmah (t-BAZ) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

“Terdapat pelbagai saluran lain turut disediakan MAIPs untuk memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan mereka sebelum akhir tahun ini,” titah baginda sewaktu berangkat melancarkan Kempen Nihayatul Am Pembayaran Zakat, Wakaf dan Sedekah MAIPs 2022, di sini hari ini.

Simbolik pelancaran kempen tersebut berlangsung di Pulau Batu Layang yang terletak di perairan Kuala Sungai Baru dan menjadi salah satu destinasi pelancongan terbaharu serta lokasi memancing menarik di Perlis. 

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor bersama ketua-ketua jabatan lain.

Pulau Batu Layang menjadi tarikan pelancongan memandangkan ia adalah lokasi hijrah sementara ikan lumba-lumba berikutan mempunyai sumber makanan yang banyak seperti anak-anak ikan belanak, ikan kedera dan udang. 

Malah, pulau itu juga merupakan tumpuan pemancing dan turut menyajikan pemandangan indah khususnya sewaktu matahari terbenam.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kempen itu, Mohd Nazim berkata, semua masyarakat Islam perlu merebut peluang yang ada bagi melaksanakan segera ibadah zakat dan wakaf sebelum berakhirnya tahun 2022.

“Orang ramai boleh membuat pembayaran secara mudah melalui kaedah dalam talian atau di kaunter zakat dan wakaf MAIPs serta menerusi amil zakat yang dilantik. 

“Bagi maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman web rasmi MAIPs di www.maips.gov.my,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya