Masalah penglihatan serius tak halang guru dari Palestin raih PhD

Alami masalah penglihatan serius tidak halang guru dari Palestin peroleh PhD

MOHAMMED Adnan Rajab Alattar bersama isterinya, Almazah sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 USIM di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban, hari ini. - FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menghadapi masalah penglihatan serius tidak menghalang seorang graduan antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Ke-20 universiti tersebut hari ini.

Mohammed Adnan Rajab Alattar, 43, dari Palestin berkata, sepanjang tempoh menyiapkan penulisan tesis bagi Pengajian Bahasa Arab itu, dia juga sering dibantu oleh sahabat karibnya selain penyelianya.

“Saya mengalami masalah penglihatan dan ia semakin bertambah serius sejak lima tahun kebelakangan ini, saya hanya mampu mendengar dan bercakap sahaja. Bagaimanapun ia tidak menghalang untuk saya menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun. 

“Segala tugasan dan penulisan tesis saya banyak dibantu oleh sahabat baik yang hanya mahu dikenali sebagai Zamil selain di bawah pengawasan penyelia, Dr. Zainal Abidin Hajib dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU). Terima kasih kerana membantu saya sepanjang saya melanjutkan pelajaran di sini,” katanya kepada pemberita di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, di sini hari ini.

Beliau merupakan antara 127 graduan antarabangsa pada Majlis Konvokesyen Ke-20 USIM yang bermula hari ini dan berakhir pada 15 Disember ini.

Mohammed Adnan yang berasal dari utara Semenanjung Gaza itu berkata, dia kini merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Palestin.

“Sebelum ini, saya mendapatkan pendidikan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Universiti Islam Gaza di Palestin pada 2017 sebelum menyambung pengajian peringkat PhD di USIM selama tiga tahun. 

“Sebelum ini, saya salah seorang guru Bahasa Arab yang telah berkhidmat selama 15 tahun di salah sebuah sekolah di Palestin,” katanya yang mempunyai empat orang anak berusia sembilan hingga 15 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN