KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di negeri ini menurun kepada 151 orang daripada 39 keluarga yang masih berada di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan daerah Bera dan Pekan sehingga pukul 8 pagi ini.
Bilangan mangsa yang sama juga dilaporkan sehingga pukul 8 malam tadi di dua PPS daerah tersebut.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, sehingga pukul 8 pagi ini, di Bera jumlah mangsa berada di PPS menurun kepada sembilan orang daripada tiga keluarga yang masih ditempatkan sejak Jumaat lalu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kerayong.
“Bagi daerah Pekan, jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Mutiara kekal 142 orang daripada 36 keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Che Adam, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di Temerloh ditutup petang semalam setelah mangsa pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan banjir kembali pulih.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, paras air Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia, daerah Rompin menunjukkan trend amaran berbahaya di paras ketinggian 11.44 meter pada pukul 8 pagi manakala empat batang sungai di daerah Bera, Maran dan Pekan masih dalam keadaan trend amaran, manakala enam sungai lagi waspada.
Beliau berkata, keadaan hujan dan ribut petir masih berlaku di kebanyakan tempat di negeri ini bermula waktu pagi, petang hingga ke malam.
“Penduduk di pesisir Sungai Pahang dan anak sungai perlu berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih tentang keadaan banjir pada setiap hari daripada anggota APM yang bertugas dan pihak berkuasa beruniform lain,” katanya. – UTUSAN