PETALING JAYA: Malaysia kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan sewaktu menerima panggilan telefon daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, semalam.
“Menerima panggilan telefon daripada TYT Mahmoud Abbas, Presiden Palestin bagi merakamkan ucapan tahniah sempena pelantikan saya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
“Kami mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin di dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan.
Pada masa sama, Anwar dalam perbualan bersama Presiden Palestin, turut menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin.
“Saya menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel.
“Di bawah pentadbiran saya, Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan Palestin,” katanya. – UTUSAN










