Mak saya pun pernah jadi mangsa ‘scammer’, rugi RM75,000

Mak saya pun pernah jadi mangsa ‘scammer’, rugi RM75,000 – Fahmi

FAHAMI FADZIL dan Teo Nie Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mangsa jenayah penipuan atau scam menerusi panggilan atau wadah dalam talian bukan sahaja melibatkan orang kebanyakan, malah ibu kepada menteri itu sendiri.

Perkara berkenaan mungkin tampak lucu namun diakui Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang bertanggungjawab terhadap industri telekomunikasi.

“Mak saya pun pernah jadi mangsa ‘scammer’, hilang kira-kira RM75,000 daripada akaun Tabung Haji sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri di sini hari ini.

Ini merupakan penampilan buat julung kali Ahli Parlimen Lembah Pantai itu pada program anjuran kementerian tersebut setelah dilantik sebagai menteri pada 3 Disember lepas.

Turut hadir pada acara perhimpunan diadakan secara hibrid itu ialah Timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Mohammad Mentek.

Mengulas dengan lebih lanjut, Ahmad Fahmi mengakui beliau terperanjat apabila kes itu diceritakan oleh ibunya kerana sistem kawalan data pelanggan di Tabung Haji amat ketat.

Agensi itu yang ditubuhkan kerajaan pada 1963 lalu ketika ini mempunyai seramai 8.41 juta pendeposit dengan jumlah simpanan keseluruhan telah mencecah lebih RM83 bilion.

“Saya berasa amat pelik bagaimana si ‘scammer’ itu boleh tahu dengan terperinci segala butiran akaun mak saya dan kemudian curi duit yang disimpan di situ,” jelasnya kesal.

Tambahan pula sistem keselamatan data di Tabung Haji diketahui antara terbaik di dunia dan jauh berbeza dibandingkan dengan institusi perbankan lain yang terdapat di pasaran.

Dalam nada serius, beliau menyifatkan kes aneh itu bukanlah perkara kelakar seumpama program mistik popular Misteri Nusantara yang disiarkan stesen TV3 suatu ketika dahulu.

Ahmad Fahmi bahkan menambah, kehilangan simpanan memberi kesan emosi amat besar kepada pendeposit yang bersusah payah berjimat cermat terutama dari kalangan B40.

Apatah lagi ujarnya, kerugian akibat jenayah komersial itu tidak melibatkan dana kerajaan tetapi ‘duit’ rakyat sendiri yang tidak ada simpanan besar untuk jangka masa panjang.

“Justeru, saya berharap semua agensi di bawah kementerian ini khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia lebih proaktif banteras isu jenayah ini,” katanya.

Langkah itu termasuk kempen kesedaran agar mangsa segera menghubungi talian 997 dikendalikan oleh Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) yang ditubuhkan Oktober lalu.

Ramai mangsa kata beliau, tidak tahu pun bahawa kes mereka boleh lagi diselamatkan jika maklumat diberikan kurang 24 jam selepas transaksi dilakukan kepada scammer itu.

Segala butiran urus niaga jelas Ahmad Fahmi, boleh diambil tindakan pantas oleh pihak Bank Negara Malaysia untuk menyekat pengaliran keluar dana dari pendeposit tersebut.

Usaha berkenaan tegasnya amat penting kerana beliau bimbang wang yang dicuri itu akan masuk kepada ekonomi pasaran gelap oleh kumpulan penjenayah ganas terancang

“Kita kena serius bendung kes ini kerana saya difahamkan setiap hari sahaja akan ada 60 orang yang jadi mangsa dengan purata setiap orang hilang kira-kira RM10,000,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya