PETALING JAYA: Cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor dekat sini kelmarin disenaraikan antara lokasi kritikal yang dikenal pasti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Ia disenaraikan sebagai kritikal kerana kecuraman pada paras berisiko iaitu melebihi 45 darjah serta bentuk cerun tambakan jalan yang berkeberangkalian tinggi berlaku tanah runtuh.
Setakat pukul 6 petang semalam, sejumlah 24 maut dalam tragedi itu. Mangsa ke-24 ialah kanak-kanak perempuan. Mangsa ke-22 dan ke-23 pula ialah ibu dan kanak-kanak lelaki ditemukan pada kira-kira pukul 1.30 petang manakala sembilan lagi dilaporkan masih hilang.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah JMG, Zamri Ramli berkata, pihaknya sebelum ini mengenal pasti 254 lokasi cerun yang berisiko berlakunya tanah runtuh malah kawasan tersebut antara lokasi panas dalam kewaspadaan.
Katanya, secara amnya, kecuraman cerun melebihi 25 darjah dikategorikan sebagai berisiko tinggi yang memerlukan pemantauan secara terperinci.
Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa runtuhan tanah yang dianggarkan sebanyak 500,000 tan metrik dengan ketinggian 30 meter di Fathers’ Organic Farm kelmarin menjadi bukti aspek penguatkuasaan dan pemantauan cerun di negara ini masih lemah.
Dalam pada itu, menurut Zamri, bagi kes di Jalan Batang Kali, JMG mendapati cerun di tepi jalan itu adalah cerun tambakan (buatan) dan hujan di kawasan tersebut sejak beberapa hari sebelum kejadian menjadikannya lemah.
“Malah berdasarkan penilaian awal, keadaan ketepuan tanah di tapak perkhemahan tersebut tinggi disebabkan kadar kandungan air dalam tanah. Jika dilihat kawasan tragedi itu adalah tanah rata namun terdapat saluran air dalam tanah seperti tersekat.
“Ini kerana berdasarkan keadaan mangsa seakan-akan dibawa aliran selain tanah menjadi lumpur. Namun kita sedang kenal pasti sama ada ia disekat disebabkan tapak rekreasi atau atas faktor muka bumi itu sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada 25 September lalu, siaran muka depan Mingguan Malaysia melaporkan, sebanyak 254 cerun di seluruh negara dikenal pasti JMG berisiko ke berlakunya tanah runtuh dan bencana alam sehingga mengancam nyawa terutamanya musim tengkujuh.
Mengulas lanjut, Zamri berkata, antara faktor penilaian tahap risiko berdasarkan geologi ialah pembentukan kecuraman dan bahan digunakan selain ketidaksesuaian guna tanah.
Selain itu, ujarnya, curahan hujan atau air larian permukaan atau bawah tanah khususnya yang berlaku pada musim hujan sehingga menjadi pencetus kepada kes tanah runtuh dan kegagalan cerun.
Jelas beliau, cerun juga berisiko tinggi runtuh jika terdapat kelemahan dalam reka bentuk dan penebangan hutan atau penggondolan bukit.
Tambahnya, kurang penyelenggaraan seperti longkang tersumbat, sistem saliran tidak berfungsi dan hakisan antara punca cerun berisiko runtuh.
“Ini juga berlaku di Taman Halaman Ampang apabila terdapat saliran air dalam cerun tersekat sehingga menjadi lemah dan runtuh beberapa kali.
“Diingatkan kepada mereka yang tinggal di kawasan bukit atau berdekatan cerun perlu peka kepada keadaan cerun terutama cerun potongan.
“Jika tiada air keluar dalam antara lubang cerun, ia sebenarnya membimbangkan. Kemungkinan air tersekat atau sistem perparitan pecah hingga air menyerap dalam tanah sehingga berlakunya tragedi tanah runtuh,” katanya. –UTUSAN











