Lelaki dikhuatiri lemas, terjun sungai elak diberkas polis

Lelaki dikhuatiri lemas, terjun sungai elak diberkas polis

LOKASI dua lelaki dipercayai terjun ke Sungai Kedah bagi mengelak dari diberkas polis di Taman Limau Manis, Alor Mengkudu, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah terjun ke Sungai Kedah bagi mengelak daripada ditahan polis di Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu, di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, individu berusia 45 tahun itu dipercayai seorang daripada tiga individu disyaki tokan dadah yang cuba diberkas di lokasi berkenaan.

Katanya, pihak polis tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari setelah mendapat maklumat mengenai penghantaran dadah di lokasi tersebut dari Pendang. 

“Sebaik menyedari kehadiran pihak polis, tiga lelaki yang menaiki Proton Wira berwarna putih cuba melarikan diri. Seorang daripada mereka yang berusia 20-an berjaya diberkas manakala dua lagi terjun ke sungai. 

“Suspek berusia 30-an yang terjun ke sungai berjaya berenang ke seberang untuk meloloskan diri bagaimanapun seorang lagi individu yang berusia 45 tahun dikhuatiri lemas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Bertugas, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Firdaus Daud memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada polis mengenai kejadian itu pada pukul 1.07 tengah hari. 

Menurutnya, seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja kemudiannya tiba di lokasi dan memulakan operasi mencari tidak lama kemudian. 

“Bantuan bot dari BBP Alor Setar, Jalan Raja dan polis turut digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat. 

“Operasi tersebut turut melibatkan aktiviti selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Jitra,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.