BESUT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika membaiki saluran paip di Taman Rekreasi Lata Tembakah, Sungai Tenang di sini, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerteh, Mohd. Tarmimi Che Musa, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4.02 petang sebelum sepasukan anggota ke tempat kejadian.
Menurut beliau, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut digerakkan ke lokasi dengan operasi mencari masih giat dijalankan sehingga kini.
“Hasil maklumat awal, mangsa, Abdul Wahab Mat Sulaiman, 25, sedang membaiki saluran paip di tingkat lima lata sebelum dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini..
Tambahnya, pada masa ini, mangsa belum ditemui dan kerja-kerja mencari dan menyelamat masih aktif dengan kekuatan 12 anggota termasuk unit PPDA. – UTUSAN