Lawatan khas Presiden Timor-Leste ke Malaysia - Utusan Malaysia

Lawatan khas Presiden Timor-Leste ke Malaysia

MENTERI Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyambut ketibaan Dr. Jose Ramos-Horta yang dalam rangka lawatan ke Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta mengadakan lawatan khas ke Malaysia hari ini dan bakal bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengucapkan tahniah secara peribadi di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu juga bertujuan menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste serta meneroka ruang kerjasama yang baharu.

Dalam pada itu, Ramos-Horta juga dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa lawatan ini.

“Malaysia dan Timor-Leste mengekalkan hubungan yang erat dan mesra sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste pada 2002. Ini terbukti apabila Malaysia merupakan negara pertama menubuhkan Pejabat Perhubungan di Dili pada 13 April 2001 dan negara pertama dalam kalangan negara-negara ASEAN menubuhkan Kedutaan Besar di Dili pada 19 Mei 2002.

“Malaysia secara aktif sentiasa menyokong Timor-Leste dari aspek pembangunan sosial, keselamatan dan ekonomi terutamanya dalam menyediakan kursus latihan pembinaan kapasiti untuk pegawai Timor-Leste melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 2021, Malaysia merupakan rakan dagangan ke-8 terbesar Timor-Leste, destinasi eksport ke-13 serta sumber import ke-7.

“Dari Januari hingga Oktober 2022, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste telah direkodkan pada AS$84.6 juta (RM372.24 juta) dengan nilai eksport berjumlah AS$62.8 juta (RM276.32) dan nilai import berjumlah AS$21.8 juta (RM95.92 juta),” jelas Wisma Putra. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN