LUMUT: Seorang kru kapal kargo dilaporkan meninggal dunia di atas kapal tersebut ketika berada di perairan dekat Pulau Pangkor malam tadi.
Kru tersebut, Biriulin Mikhail, 52, warga Rusia mengalami pendarahan serius di kepala sebelum dilaporkan meninggal dunia.
Berikutan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak melaksanakan ‘pemindahan perubatan’ (MEDEVAC) mayat lelaki itu pada kedudukan 0.9 batu nautika selatan Pulau Pangkor pada pukul 9 malam.
Menurut Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup, kapal kargo yang berpusat di Panama itu dilaporkan dalam perjalanan menuju Phuket, di mana terdapat seorang kru lelaki mengalami kecederaan serius di kepala.
Menurut laporan awal yang diterima daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) pada pukul 4.55 petang semalam, lokasi Kapal MV One Destiny itu berada pada kedudukan 30 batu nautika selatan Pulau Pangkor.
“Sejurus menerima laporan, aset Maritim diatur gerak ke lokasi bagi pemindahan mangsa ke darat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa di Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan, pada pukul 10 malam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Seri Manjung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat dan insiden kecemasan di laut ke MERS 999 atau hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk maklum balas segera. – UTUSAN










