KPT tiada perancangan tambah universiti awam

KPT tiada perancangan tambah universiti awam

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menerima nota serahan tugas daripada Noraini Ahmad pada Majlis Apresiasi dan Serah Tugas Jawatan Menteri Pendidikan Tinggi di Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak berhasrat untuk menambah jumlah universiti awam di negara ini, sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh universiti sedia ada.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian turut memberi jaminan untuk memastikan kesemua universiti awam dapat diperkukuhkan menerusi kepimpinan, misi dan visinya.

“Kita tidak akan menambah universiti awam tapi memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kepimpinan dan memastikan universiti bergerak mengikut landasan serta memenuhi visi dan misi.

“Ada 20 universiti awam yang dikategorikan sebagai penyelidikan, komprehensif dan berfokus yang kita harap semuanya dapat berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi dan Serah Tugas Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2022 di sini hari ini.

Pada majlis itu, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyerahkan nota serah tugas kepada Mohamed Khaled yang memulakan tugas secara rasmi pada 5 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, universiti swasta di negara ini turut memainkan peranan penting dalam menjayakan sektor pendidikan tinggi.

“Kalau kita nak menjadikan Malaysia hub bakat dan pengetahuan, kita perlu jadikan ia tumpuan untuk belajar di peringkat tinggi oleh pelajar-pelajar antarabangsa, tapi universiti awam tidak boleh menampung semua pelajar antarabangsa kerana kita (perlu) mengehadkan penyertaan mereka.

“Jadi yang memainkan peranan ini adalah universiti-universiti swasta, kita ingin sampai kepada satu keadaan di mana satu ketika nanti tidak ada perbezaan di antara universiti awam dan swasta, kedua-duanya adalah universiti Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, beliau akan menyampaikan amanat dan menjelaskan hala tuju serta usaha-usaha yang dilakukan olehnya dalam menjayakan sektor pendidikan negara pada Januari depan.

“Kita bukan sahaja melihat kepada universiti awam, swasta tetapi juga politeknik dan kolej komuniti. Kita juga akan melihat isu-isu yang dihadapi oleh pelajar, soal keboleh pasaran graduan, pembiayaan (pendidikan) dan bagaimana untuk menyediakan mereka sebagai insan yang dikehendaki dalam abad ke-21.

“Kita juga akan pastikan bagaimana sektor ini dapat menjayakan negara yang ekonominya sepatutnya berasaskan pengetahuan dan inovasi,” katanya.

Pada hari pertama memulakan tugas secara rasmi, Mohamed Khaled berkata, dasar-dasar baik yang direncanakan pentadbiran terdahulu akan diteruskan selain menumpukan usaha meneroka inisiatif baharu untuk meletakkan sektor pendidikan tinggi ke tahap lebih baik berbanding sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya