SEREMBAN: Gabungan 35 pemuzik tradisional dan moden memacu kemeriahan Konsert Muzik Tradisional Negeri Sembilan 2022 yang berlangsung selama dua malam berturut-turut baru-baru ini.
Konsert selama hampir dua jam itu menyebabkan lebih 300 penonton yang memenuhi Auditorium Raja Melewar di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri dekat sini tidak berganjak sejak pukul 8.30 malam.
Pengarah konsert itu, Dr. Ahmadrashidi Hasan berkata, sebanyak 16 lagu tradisional negeri ini yang dibahagikan kepada tiga segmen telah didendangkan oleh penyanyi veteran dan muda untuk tontonan ramai.
“Alunan lagu dan muzik tradisional negeri ini diadun dengan begitu baik hingga para penonton bukan saja menyaksikan konsert hingga ke akhir malah mereka turut sama-sama menari pada akhir persembahan.
“Saya gembira kerana konsert yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Hasanah melalui Program ArtFas mendapat sambutan yang amat baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam kelmarin.
Turut menyaksikan konsert itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ismail Ahmad dan Ketua Seni, Budaya, Ruang Awam, Strategi dan Perkongsian Yayasan Hasanah, Zainariah Johari.
Ahmadrashidi yang juga Pengasas Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan memberitahu, persembahan Bongai, Cak Lempong dan Tumbuk Kalang dalam segmen pertama dilaksanakan dalam bentuk asalnya agar audien dapat mengenali asal usul, tujuan dan permainan muzik itu.
Tambahnya, konsert turut diselang seli dengan persembahan tarian warisan negeri ini seperti Tarian Lilin, Terinai dan Randai oleh kumpulan 20 penari Simektra dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban 3.
Katanya, penganjuran konsert itu diharap dapat membantu mencapai matlamat utama untuk melestari dan memartabatkan seni muzik warisan Negeri Sembilan dan menampilkan lagu tradisional itu dalam bentuk kontemporari untuk disesuaikan dengan selera muzik sezaman.
“Sempena konsert ini kami turut memberikan penghargaan kepada para pejuang budaya di negeri ini seperti penyanyi Abu Bakar Mustafa atau lebih dikenali sebagai Ulong Bakar, Muhammad Abdullah (pemalu gendang/rebana), Muhammad Yunus Ibrahim (Bongai) dan pasangan suami isteri, Bahari Silong dan Habibah Jaudin (Tumbuk Kalang),” ujarnya.
Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan negeri menyokong penganjuran konsert seperti itu yang bertujuan mengangkat martabat dan melestarikan muzik tradisional negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri kagum kerana konsert itu mendapat sambutan menggalakkan termasuk dalam kalangan anak muda dari institut pengajian tinggi (IPT).
“Kami berharap konsert seperti ini dapat dianjurkan secara lebih kerap dan melibatkan lebih ramai komuniti penggiat seni muzik tradisional pada masa depan,” katanya. – UTUSAN