Kewarganegaraan kanak-kanak: Mahkamah Persekutuan beri kebenaran merayu

Kewarganegaraan kanak-kanak: Mahkamah Persekutuan beri kebenaran merayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan seorang wanita, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan enam ibu warga tempatan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu berhubung kewarganegaraan automatik kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan demikian selepas pihak responden yang diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dan Liew Horng Bin tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.

Turut bersidang pada hari ini ialah Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Usaha untuk mendapatkan kebenaran merayu itu melibatkan dua permohonan berbeza tetapi membabitkan isu kewarganegaraan yang sama.

Permohonan pertama membabitkan Mahisha Sulaiha Abdul Majeed manakala Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) yang diwakili oleh presidennya, Suriani Kempe dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Mahisha Sulaiha, 25, merupakan seorang wanita yang dilahirkan di Chennai, India pada Oktober 1997 oleh ibunya yang merupakan warganegara Malaysia. Bapanya adalah warganegara India. Wanita terbabit dalam usaha untuk mendapatkan kewarganegaraan negara ini.

Pada prosiding merayu yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian, pihak-pihak yang terlibat diarahkan untuk berhujah mengenai lima persoalan perundangan antaranya mengenai peruntukkan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap seseorang atas alasan jantina.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan negara ini secara automatik.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Kamaludin Md. Said dan Hakim Datuk Azizah Nawawi dalam penghakiman mereka memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca bersama atau turut merangkumi ‘ibu’.

Jelas mereka, duluan (precedent) oleh mahkamah tertinggi sebelum ini telah memutuskan bahawa kewarganegaraan seseorang kanak-kanak adalah mengikut kewarganegaraan bapa dan bukannya ibu. 

Namun seorang ibu yang merupakan warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing masing boleh memohon kewarganegaraan negara ini mengikut Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Hakim Datuk S. Nantha Balan yang menentang penghakiman itu menyatakan perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1 (b) dan 1 (c) perlu merangkumi ‘ibu’.

“Ini bukan kes membabitkan kanak-kakan yang dilahirkan di luar perkahwinan yang sah atau membabitkan kanak-kanak yang telah ditinggalkan. Sebaliknya kes hari ini membabitkan ibu warga negara Malaysia yang ingin mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara dan dalam perkahwinan yang sah,”katanya.

Panel tiga hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, kewarganegaraan itu kekal sehingga kes itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagi permohonan-permohonan plaintif yang masih diproses, permohonan tersebut perlu `dibekukan’ sehingga kes dimuktamadkan.

Pada 9 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman Family Frontiers dan enam ibu warga tempatan dengan memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember 2020, mereka antara lain memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN