SEREMBAN: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin dijangka menyertai Pas dalam satu majlis, hujung minggu ini.
Ia berdasarkan poster jemputan ke majlis sidang akhbar dan penyerahan borang keahlian Pas yang diedarkan beliau kepada media serta dimuat naik di akaun media sosial miliknya hari ini.
Majlis berkenaan dijadual berlangsung pada pukul 5 petang, Sabtu ini di Lenggeng, dekat sini.
Ketika dihubungi hari ini, Zool Amali berkata, beliau akan mengulas mengenai perkara itu dalam sidang akhbar tersebut.
“Saya akan menjawab segala pertanyaan pada hari Sabtu ini,” katanya.
Baru-baru ini, Zool Amali memuat naik video beliau sedang mengisi dokumen dipercayai borang keahlian Pas menerusi akaun media sosial miliknya.
Beliau sebelum ini lantang memperjuang supaya Parlimen Seremban ditandingi oleh calon UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) menampilkan calon dari MCA, Felicia Wong Yin Ting yang kemudian tewas dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mempertahan kerusi berkenaan selepas mendapat sebanyak 30,841 undi. – UTUSAN