PASIR MAS: Kerajan Perpaduan tidak akan meminggirkan negeri yang ditadbir oleh pembangkang malah akan menjunjung semangat federalisme.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugas beliau ialah mentadbir dan mengurus negara dengan sebaik mungkin tanpa mengira negeri terlibat.
“Soal pilihan raya itu, rakyat sudah pilih keputusan mereka. Ada yang saya setuju dan ada tidak.
“Tetapi itu tidak penting kerana akhirnya rakyat buat keputusan. Jadi kita kena hormat keputusan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, di sini sebentar tadi.
Anwar memberitahu, lawatan ke Kelantan hari ini menunjukkan kesedian saya untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri sebaik sahaja dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Kalau banjir besar, ia tidak berlaku di Tambun, ia berlaku di Kelantan, jadi kita memberi tumpuan di Kelantan kerana banjir besar tidak berlaku di Tambun.
“Kalau melibatkan masalah infrastruktur pelabuhan, mungkin kita bincang di Johor atau Selangor, jadi ia ikut keutamaan,” ujarnya. – UTUSAN










