KUALA TERENGGANU: Kerajaan perlu segera ‘campur tangan’ dalam mengatasi masalah kenaikan harga bahan pembinaan terutama simen supaya masalah yang membebankan rakyat tidak berlarutan.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda berkata, penggiat industri pembinaan rumah semakin tertekan ketika ini disebabkan kenaikan harga yang terlalu drastik itu.
Katanya, kenaikan itu antara lain adalah disebabkan permintaan yang lebih tinggi pasca Covid-19 dan kekangan akibat krisis global seperti perang di Ukraine.
“Perang yang berlaku itu juga menyebabkan beberapa sekatan rangkaian antarabangsa ke atas bahan-bahan tertentu untuk menghasilkan simen termasuk arang batu yang menyebabkan harga arang batu meningkat.
“Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah drastik bagi mengatasi masalah ini agar ia tidak terus berlarutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Selain itu, Mohamad Hishamudin berkata, kekurangan buruh binaan akibat kekangan kemasukan pekerja asing yang dihadkan menjadi faktor utama kenaikan termasuk kos pematuhan yang dikenakan oleh pihak kerajaan.
“Akhirnya segala kos tersebut dipindahkan kepada harga jualan sesebuah kediaman dan kesannya harga rumah semakin tinggi dan meningkat, menyebabkan ia kurang mampu untuk dimiliki rakyat.
“Sesuatu projek juga boleh tergendala atau terbengkalai kerana pihak kontraktor tidak mampu menyerap kenaikan kos bahan binaan,” katanya. – UTUSAN