KOTA BHARU: Polis mendedahkan tiga beradik maut di Kampung Morak, Tumpat di sini, berpunca daripada kebocoran pendawaian elektrik daripada salah sebuah rumah penduduk kawasan berkenaan.
Dalam kejadian pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Noor Fathiah Mohd. Nadzir, 27, Sakinah Mohd. Nadzir, 29, dan Nurul Syazwani Mohd. Nadzir, 33.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki berkata, maklumat tersebut hasil siasatan awal berkait kejadian yang dilakukan oleh pihaknya.
Menurutnya, semasa kejadian kesemua dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi air banjir di hadapan sebuah rumah.
“Tiba-tiba salah seorang daripada mereka dipercayai tergelincir dan terpegang tiang rumah lalu terkena renjatan elektrik.
“Pada masa sama, dua lagi kakak mangsa yang cuba membantu dan turut terkena renjatan elektrik tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, kesemua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dimaklumkan untuk tindakan memutuskan bekalan elektrik di tempat kejadian dan tindakan lanjut.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan yang lemas ditemukan oleh bapa saudaranya di hadapan rumah di Kampung Tok Deh, Rantau Panjang, dekat sini hari ini.
Katanya, kanak-kanak tersebut ditemukan pada pukul 12.30 tengah hari tadi di halaman rumah yang digenangi air banjir.
“Semasa kejadian, lelaki itu dipercayai sedang mengemas rumah bersama ibunya sebelum mendapati mangsa tiada bersama mereka.
“Ahli keluarga terus mencari mangsa sebelum melihat kanak-kanak itu sudah berada dalam keadaan terapung di hadapan rumah. Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawa mayat mangsa ke Hospital Pasir Mas di sini untuk dibedah siasat,” – UTUSAN