PETALING JAYA: Anggota kumpulan Ruffedge, Cat Farish mengakui, mereka juga sering berselisih faham, namun tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai sebab untuk bermasam muka sehingga membabitkan pembubaran.
Jelas Cat, peranan seorang ketua sangat penting untuk memastikan setiap isu berbangkit dapat diselesaikan dengan baik tanpa berat sebelah demi memastikan tiada ahli kumpulan yang berkecil hati.
“Kami pun bergaduh juga. Ada masa berselisih faham. Tetapi, kena ada ketua untuk selesaikan isu berbangkit. Ini periuk nasi. Jangan sebab berselisih faham, ada yang tarik diri hingga bubar kumpulan.
“Kami gaduh, tetapi tidak pernah sampai menyingkirkan ahli kumpulan. Cuma, ada yang pernah direhatkan. Beri ruang untuk buat haluan sendiri dan selepas itu bergabung kembali. Lagipun, masing-masing sudah besar dan matang.
“Tidak ada cakap belakang atau burukkan mana-mana pihak. Itu perangai budak-budak,” katanya ketika ditemui selepas tayangan perdana filem Hani di sini.
Cat bagaimanapun, enggan mengulas panjang berhubung isu anggota VE baharu yang mengambil keputusan berundur daripada kumpulan itu selepas selesai berentap di pentas Gegar Vaganza (GV) kesembilan.
“Saya tidak mahu masuk campur. Nak cakap banyak pun tidak berani. Isu ini dari dahulu sudah ada, cuma saya kalau boleh tidak mahu ambil tahu.
“Kami (Ruffedge) juga tidak nampak jalan untuk menyertai GV. Ramai yang tanya, tetapi tidak buat masa sekarang,” ujarnya.
Bercakap soal filem baharunya, Hani, Cat mengharapkan agar peminat akan menyokong karya yang berunsurkan seram fantasi itu kerana mempunyai jalan cerita serta efek visual yang mengagumkan.
“Pertama kali tonton, saya sudah tergamam. Ini memang satu anjakan baharu kepad dunia perfileman negara. Permulaan kepada teknologi efek visual yang lebih bermutu tinggi.
“Jangan lepaskan peluang, datang rama-ramai, sokong filem tempatan kita,” katanya.
Hani yang diarahkan Fazli Yasin merupakan sebuah filem bergenre seram berkisar kehidupan seorang pelukis komik seram bernama Hani.