Jawatan Timbalan Menteri juga penting

Jawatan Timbalan Menteri juga penting

Kerajaan dicadang mewujudkan juga jawatan Timbalan Menteri bagi membantu menteri dalam urusan kementerian berkaitan. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan Timbalan Menteri dalam Kabinet perlu diwujudkan kerana ia juga memainkan peranan penting bagi membantu tugas Menteri.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ini kerana sekiranya terdapat masalah berlaku kepada mana-mana kementerian, penting untuk Timbalan Menteri mengimbangi ketidakstabilan dan kekosongan dalam masalah yang dihadapi.

Menurutnya, selain membantu dalam tugasan, setiap kementerian wajar melantik Timbalan Menteri kerana mereka juga memainkan peranan yang besar bagi menyuarakan suara rakyat dan masyarakat sekeliling dengan lebih berkesan.

“Perlu diingatkan bahawa Timbalan Menteri adalah ahli Parlimen, jadi perkara-perkara yang berkaitan kepentingan contohnya dalam konteks mengangkat suara rakyat, Timbalan Menteri boleh memberikan idea dan menyuarakan pendapat bagi pihak mereka apabila dibentangkan di dalam Parlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Nirwandy menambah, tugas sebagai Ketua Setiausaha juga memainkan peranan penting dalam Kabinet namun mereka hanyalah penjawat awam dan masalah-masalah berkaitan kebajikan rakyat tidak dapat disampaikan dengan berkesan dan pantas.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, berikutan dengan penggabungan antara dua parti bagi membentuk kerajaan yang sekarang, maka pentingnya ada pelantikan Timbalan Menteri.

Jelasnya, Timbalan Menteri pada waktu sekarang amat diperlukan untuk mewakili dan dalam membantu meringankan kerja-kerja KSU yang menampung beban kerja yang banyak.

“Bagaimanapun, tidak perlulah sehingga ada dua Timbalan Menteri dalam satu-satu kementerian, satu sahaja sudah memadai dan hubungan di antara dua-dua ini perlu ada simbiosis dan kerjasama yang baik supaya satu pentadbiran dan hasil kerja yang bagus boleh terhasil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin berpendapat, pelantikan Timbalan Menteri itu tidak diperlukan buat masa sekarang memandangkan ia hanyalah untuk memenuhi tuntutan politik dan dan bukan dari segi pelaksanaan dasar atau kepentingan kementerian.

“Saya rasa KSU lebih baik menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri kerana mereka amat berpengalaman dalam setiap kementerian dan ini boleh membantu menteri dalam melaksanakan hal ehwal kementerian mengikut tatacara yang betul dan tidak akan berlaku salah guna kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN