Jangan fikir views sahaja, perlu beri manfaat - Rhys William - Utusan Malaysia

Jangan fikir views sahaja, perlu beri manfaat – Rhys William

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjadi antara pelopor kandungan media sosial popular, Rhys William menasihatkan anak muda yang mahu menceburi bidang tersebut untuk tidak terlalu memikirkan jumlah tontonan sehingga tergamak memalukan orang lain.

Jelas Rhys yang menetap di Malaysia sejak 10 tahun lalu, setiap pencipta kandungan mempunyai tanggungjawab untuk mendidik pengikut mereka dan tidak memberi impak negatif, terutama kepada generasi muda.

“Prank dan gimik ada caranya, tidak boleh sembarangan. Sebelum buat apa-apa kandungan, kena fikir dahulu. Apa mesej yang ingin disampaikan. Bila kita fikir dari sudut itu, lebih senang dikenali.

“Kita (pencipta kandungan) ada tanggungjawab. Jangan beri impak negatif kepada umum. Mungkin ada yang cakap, saya tidak layak beri komen. Saya cuma berkongsi nasihat.

“Mana yang elok kita tingkatkan dan yang buruk kita perbaiki. Tidak salah untuk kita menerima teguran dengan hati terbuka,” jelasnya yang fasih berbahasa Melayu.

Rhys yang juga pelakon ditemui pada majlis pelancaran filem The Fireflyz yang menampilkannya sebagai guru, Cikgu William.

The Fireflyz terbitan Redboy Pictures Sdn. Bhd. mengisahkan pelajar disleksia, Fazli yang mahu menyertai pasukan bola sepak sekolahnya dengan bantuan Cikgu Adam dan Cikgu William.

Bercakap tentang The Fireflyz, Rhys berkata, dia perlu mengurangkan berat badan sebelum memasuki set penggambaran yang dijadualkan bermula Mac depan.

“Saya memang suka makan tetapi bila dapat tawaran, perkara pertama saya fikir kena turunkan berat badan. Tidak boleh terlalu seronok makan.

“Lagipun, saya memerlukan stamina dan komitmen juga tinggi ketika penggambaran,” katanya yang begitu menggemari makanan Pantai Timur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN