Inteam kumpul lebih RM1 juta bantu pelarian Syria

Inteam kumpul lebih RM1 juta bantu pelarian Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Inteam bersyukur apabila dapat mengumpul dana mencecah RM1.025 juta dalam usaha membantu pelarian Syria sepanjang tahun ini.

Ahli kumpulan Inteam, Hazamin Harun berkata, dana terkumpul itu turut dimanfaatkan 10,000 pelarian Syria ketika Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Siri Ke-10 di utara negara itu, Februari lalu.

“Bantuan itu termasuk kit makanan, membaik pulih khemah, pendidikan, bantuan kecemasan dan alat pemanas serta bahan bakar bagi mereka mengharungi musim sejuk.

“Pengalaman menyertai misi kemanusiaan di kawasan utara Syria memberikan kami peluang merasai sendiri kesusahan dan penderitaan pelarian di sana,” katanya pada sidang akhbar pelancaran video muzik Selimut Kasih, petang tadi.

Lagu tersebut merupakan ilham Syah selaku ketua kumpulan Inteam, manakala lirik hasil ciptaan Ahmad Fedtri Yahya.

Selimut Kasih sebelum ini tersenarai dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik ketika Anugerah Industri Muzik ke-23, September lalu.

Dalam pada itu, Hazamin juga berharap klip video yang dirakamkan ketika menyertai misi kemanusiaan di sana meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus membantu pelarian Syria dan di negara lain.

“Video ini dapat melahirkan simpati terhadap pelarian Syria yang hilang segala-galanya dalam sekelip mata akibat kesan peperangan yang berlanjutan hampir 12 tahun.

“Saya menangis ketika menjayakan misi di sana apabila melihat sekolah yang dibina dari khemah yang sangat daif. Saya tersentuh hati melihat anak-anak Syria dahagakan pendidikan,” kongsinya.

Ketika Cabaran 12 Jam Syria untuk menyertai misi tersebut pada 18 Februari lalu, Inteam berjaya memungut dana lebih RM840,000 daripada orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN