Insiden bom jejaskan pendapatan teksi motosikal

Insiden bom jejaskan pendapatan teksi motosikal

DUA pengusaha teksi motosikal berehat kerana kekurangan penumpang menggunakan perkhidmatan mereka di Padang Besar, Perlis semalam. – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Di sebalik kebanjiran orang ramai sempena musim cuti sekolah ketika ini, situasi tersebut tidak membantu pengusaha teksi motosikal di sini yang terjejas pendapatan sejak kebelakangan ini.

Hal demikian disebabkan beberapa isu seperti insiden pengeboman di Stesen Kereta Api Khlong Ngae di wilayah Songkhla, Thailand baru-baru ini selain musim hujan berterusan yang menjadi antara punca pendapatan pengusaha perkhidmatan pengangkutan berkenaan merudum sehingga 80 peratus.

Seorang pengusaha teksi motosikal dari negara jiran, Abdollah Zin, 50, berkata, pendapatannya merosot hingga 80 peratus, lebih-lebih lagi selepas insiden kedua letupan bom yang mengorbankan tiga nyawa di Khlong Ngae, Sadao di wilayah Songkhla baru-baru ini.

Katanya, pengguna perkhid­matan pengangkutan itu semakin berkurangan apabila penduduk negeri ini berasa bimbang dengan insiden yang meragut tiga nyawa pekerja syarikat kereta api nasional Thailand itu.

“Biasanya purata penumpang adalah sekitar 10 orang sehari dan kami mengenakan caj sebanyak RM10 untuk trip sehala dari sempadan Malaysia memasuki Thailand.

“Namun selepas insiden pengeboman di Khlong Ngae, pendapatan kami terjejas teruk dengan purata sekitar dua orang penumpang sahaja sehari dan bertambah teruk semasa musim hujan ketika ini,” katanya.

Pada 4 Disember lalu, sebutir bom diletupkan dekat Stesen Kereta Api Khlong Ngae menyebabkan beberapa gerabak yang membawa muatan kargo tergelincir dari landasan.

Insiden kedua pula berlaku selang dua hari kemudian sehingga menyebabkan kemalangan jiwa apabila tiga pekerja baik pulih landasan maut manakala empat lagi cedera di lokasi sama.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN