Inisiatif 'nano retailers' bantu perkasa suri rumah, B40

Inisiatif ‘nano retailers’ bantu perkasa suri rumah, B40

SALAHUDDIN AYUB (kiri) melancarkan aplikasi DIMP sempena Majlis Temu Rapat Bersama Menteri di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru yang turut dihadiri Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang mengkaji inisiatif ‘Nano Retailers’ sebagai langkah mengupayakan golongan B40, khususnya suri rumah tangga sepenuh masa memperoleh pendapatan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif berkenaan akan menjadikan golongan terlibat sebagai peniaga runcit yang menjual barangan keperluan asas dan projek perintis akan dimulakan di setiap negeri melibatkan beberapa peserta.

“Asalnya inisiatif ini be rnama ‘Rezeki Suri’, matlamatnya adalah untuk memberikan peluang kepada suri rumah sepenuh masa meniaga 11 barangan keperluan asas.

“Dalam program ini, kita akan bantu mereka mendapatkan bekalan secara terus daripada pengilang untuk dijual kepada pengguna, langkah ini akan dapat menyelamatkan mereka daripada beberapa lapisan orang tengah.

“Di samping dapat memberikan mereka pendapatan secara kecil-kecilan, golongan sasar, iaitu masyarakat B40 juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga murah. Ini merupakan salah satu program yang saya mahu jayakan dalam tempoh 100 hari memasuki pejabat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Bersama Menteri di Hotel Berjaya Waterfront, di sini malam tadi.

Salahuddin berkata, antara barangan keperluan asas yang akan dijual ialah gula, tepung, susu, minyak masak dan beras.

“Idea itu telah dibawa ke peringkat kementerian sebagai satu langkah yang sangat praktikal dalam menangani isu kenaikan harga keperluan asas dan juga kesukaran mendapatkan bekalannya.

“Kita akan cuba buat ‘pilot project’ di beberapa lokasi, negeri dan pantau. Jika dapat sambutan menggalakkan, ia akan diluaskan di peringkat kebangsaan, ini penting untuk perkasa suri rumah,” katanya.

Menurutnya, konsep sama telah dilakukan di Bangladesh yang terbukti berjaya memperkasakan usahawan kecil terdiri daripada golongan wanita miskin dalam mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Golongan suri rumah juga dipilih untuk menjayakan inisiatif ini atas data dan statistik yang terbukti menunjukkan bahawa mereka antara individu yang berdisiplin dalam membayar hutang. Jadi, mudah untuk mereka dapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan,” jelasnya.

Pada majlis itu, Salahuddin turut melancarkan aplikasi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) yang merupakan satu aplikasi jualan dalam talian bertujuan untuk membantu para peniaga memasarkan produk mereka ke pasaran lebih besar. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya