Ibu tunggal bersama tiga anak harap ihsan kakak

Ibu tunggal bersama tiga anak harap ihsan kakak

ROLIZA Md. Zain yang terlantar sakit menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal (dua kanan) di Kampung Charuk Purun, Kuala Ketil di Baling. – UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Nasib seorang ibu tunggal ibarat sudah jatuh ditimpa tangga selepas kematian arwah suaminya apabila dia kini terlantar sakit akibat kanser payu dara dihidapinya sejak Ogos tahun lalu.

Roliza Md. Zain, 31, dan tiga anaknya iaitu Nur Saffiya Irdina Mohd. Firdaus, 10; Noureen Mikayla, 3; dan Nur Saffiya Elyana, 8, juga hidup menumpang di rumah kakaknya, Rohani Md. Zain, 44.

Malah, akibat tidak dapat menguruskan anak-anak susulan kanser dihidapi sudah memasuki tahap empat, anak bongsu Roliza, Muhammad Waffiy Qayyum, 2, terpaksa tinggal berasingan bersama seorang lagi ibu saudaranya sejak Rosliza jatuh sakit.

“Suami saya, Mohd. Firdaus Marzuki meninggal dunia setahun lalu akibat penyakit jantung dan paru-paru berair. Saya dikesan menghidap kanser itu dua bulan sebelum suami meninggal dan selepas bersalin anak keempat, payu dara kiri membengkak dan bidan kampung beritahu hanya mengalami bengkak susu.

“Bengkak itu amat sakit dan berlarutan sehingga enam bulan sebelum menjalani rawatan di klinik kesihatan berhampiran sebelum doktor mengesahkan saya sudah di tahap empat,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Kampung Charuk Purun, semalam.

Katanya, sel kanser itu sangat agresif sehingga kelihatan benjolan baharu kembali menye­rang di bahagian dada serta tulang belakangnya menyebabkan dia tidak mampu berjalan dengan baik dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Sehingga kini, saya masih berulang ke sebuah hospital di Ipoh, Perak untuk menjalani kemoterapi setiap dua minggu sekali, tetapi sejak seminggu lalu saya dapati ada bengkak kecil seperti jerawat yang tumbuh banyak di sekitar payu dara kiri,” katanya.

Tambahnya, sejak kematian suami, urusan penjagaan hariannya banyak dibantu oleh anak sulungnya, Nur Saffiya Irdina yang merupakan murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar.

“Sebelum dan selepas pulang dari sekolah, Nur Saffiya Irdina akan membersihkan badan dan menukarkan lampin pakai buang selain memberi saya makan.

“Ketika dia ke sekolah, kakak saya pula akan ambil alih untuk jaga saya termasuk sediakan makanan selain membantu apa sahaja keperluan termasuk ke bilik air,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh meng­hubungi talian 019-8673582 (Roliza) dan 019- 5739844 (Rohani) atau menyalurkan terus ke akaun Maybank Rosliza bernombor 152040588376.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya