Hos brek funikular bocor punca penumpang terkandas di Bukit Bendera - Utusan Malaysia

Hos brek funikular bocor punca penumpang terkandas di Bukit Bendera

TANGKAP layar video pengunjung yang terkandas di Bukit Bendera, Pulau Pinang semalam akibat perkhidmatan kereta api furnikular yang menghadapi masalah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kebocoran pada hos brek trek menyebabkan perkhidmatan kereta api funikular di Bukit Bendera dihentikan selama hampir tiga jam semalam.

Menurut kenyataan Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), kejadian itu berlaku pukul 4 petang semalam, namun perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pukul 6.45 petang hari sama.

”Pasukan penyelenggaraan PBBPP memerlukan sedikit masa untuk menggantikan bahagian tersebut sebelum menghidupkan sistem dengan sepenuhnya.

”PBBPP kesal dengan kejadiaan yang berlaku dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak semalam, tular di media sosial klip video pengunjung yang tidak berpuas hati berhubung masalah perkhidmatan funikular di Bukit Bendera.

Klip video berkenaan menunjukkan ratusan penumpang terkandas di stesen bawah serta di puncak bukit tersebut akibat gangguan perkhidmatan funikular.

Untuk rekod, perkhidmatan funikular Bukit Bendera pernah beberapa kali mengalami gangguan sebelum ini sehingga menyebabkan ratusan pengunjung terkandas di pusat peranginan tersebut.

Kenyataan PBBPP berkata, pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan polis yang pantas menghulurkan bantuan kepada pengunjung ketika kejadian tersebut.

“PBBPP berterima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran mereka terhadap gangguan perkhidmatan.

”PBBPP juga amat menghargai usaha Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang menyediakan perkhidmatan jip, perkhidmatan bas dan polis atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan yang berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.