HULU TERENGGANU: Seorang wanita tabah menjaga suaminya yang terlantar lumpuh setelah terlibat kemalangan jalan raya di Aring 5, Kelantan pada September lalu.
Nur Khairul Bariah Mokhtar, 28, dari Kampung Tengkawang berkata, kehidupannya sekeluarga berubah selepas kejadian itu dan anak mereka, Ahmad Hakim Muhammad Faizal Hakimi berusia dua tahun kini dijaga abang iparnya.
Suri rumah itu berkata, suaminya, Muhammad Faizal Hakimi Mat Jusoh, 25, yang bekerja di sebuah kilang minyak sawit ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja setelah kereta dipandu terbabas hingga berpusing beberapa kali dan melanggar tebing.
“Selama 40 hari suami dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Dia lumpuh separuh badan, tulang tunjang tengkuknya juga patah dan dimasukkan besi.
“Doktor maklumkan keadaan suami boleh pulih semula tetapi ambil masa lama selain turut bergantung kepada semangat serta kekuatan dalam dirinya. Rawatan dan pemeriksaan susulan dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
“Sebelum ini kami menyewa di Gua Musang kerana suami bekerja kilang di Aring 5.
Namun setelah kejadian itu, kami pulang ke kampung tinggal di rumah ayah suami, Mat Jusoh Sulaiman, 68,” katanya ketika ditemui di Kampung Tengkawang dekat sini.
Nur Khairul Bariah berkata, suaminya memerlukan penjagaan rapi dan diberikan
minum susu khas menggunakan tiub yang dipasang di hidungnya setiap empat jam sekali.
“Sepanjang menjaga suami di hospital, anak kami dijaga abang ipar sekeluarga di Dungun sehinggalah sekarang bagi membolehkan saya memberi sepenuh tumpuan uruskannya buat masa ini.
“Perbelanjaan keperluan suami cecah lebih RM1, 500 sebulan bagi membeli lampin pakai buang, susu khas serta ubat-ubatan dibeli di farmasi. Syukurlah, sehingga kini adik-beradik suami begitu banyak membantu dalam pelbagai bentuk.
“Bantuan daripada pihak berkenaan belum diterima kerana saya baru membuat permohonan. Sekiranya lulus nanti, dapatlah ringankan beban apatah lagi saya tidak bekerja,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB bernombor 7640026894 atas nama Muhammad Faizal Hakimi Mat Jusoh atau hubungi Nur Khairul Bariah Mokhtar di talian 014-5205186. – UTUSAN