Geng Patah, Geng Ajib aktif curi motor tumpas

Dua kumpulan aktif curi motor tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan dua kumpulan curi motosikal selepas menahan lapan lelaki menerusi Operasi (Op) Lejang dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Kesemua suspek berusia antara 24 tahun hingga 40 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 25 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua kumpulan itu masing-masing dikenali sebagai Geng Patah yang diketuai suspek dikenali sebagai Ya’patah dan Geng Ajib, diketuai seorang lelaki dengan nama sebenar Muhammad Najib.

Kata Mohamad Farouk, kejayaan pertama adalah menumpaskan Geng Patah dalam operasi  bermula 25 November lalu dengan menahan empat anggota kumpulan berkenaan dalam tangkapan sekitar daerah Gombak dan Sentul.

“Kita turut merampas tiga motosikal terdiri daripada dua Honda EX5, sebuah Yamaha LC135 serta satu rangka motosikal. Kesemua motosikal ini dilaporkan dicuri sebelum ini selain menemukan  pelbagai komponen motosikal.

“Kumpulan ini dipercayai aktif sejak tahun lalu dan semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing mereka juga positif dadah,”  katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, kumpulan itu menyasarkan motosikal jenis Honda EX5 yang diparkir kawasan flat dan kaki lima yang tiada pengawal keselamatan.

Kata beliau,  Geng Ajib yang dianggotai empat orang berusia antara 24 tahun hingga 34 tahun pula ditumpaskan  menerusi Op Lejang bermula 29 November lalu.

“Kesemua mereka ditangkap dalam serbuan berasingan dengan dua tangkapan tangkapan di Gombak manakala dua lagi suspek ditahan di Rantau dan Linggi, Negeri Sembilan,” katanya.

Katanya, hasil tangkapan yang dilakukan polis turut merampas tiga motosikal  iaitu sebuah Yamaha LC dan dua Yamaha 125ZR serta pelbagai komponen motosikal termasuk dua enjin motosikal.

Jelas beliau, kumpulan itu aktif melakukan kegiatan curi motosikal di sekitar Ampang Jaya sejak tahun ini dan buat masa ini, empat kes berkaitannya menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR.

“Semakan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.

“Siasatan membabitkan kedua-dua kumpulan curi motosikal ini masih diteruskan dan sedang mengesan saki baki anggota kumpulan yang masih bebas,” jelasnya.

Mohamad Farouk berlaya, kedua-dua kumpulan tersebut didapati mencuri motosikal untuk kegunaan sendiri selain menjual pelbagai komponen motosikal kepada rakan dikenali dan secara dalam talian.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan ,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN