'Gagau’ mentarang dapat RM300 sehari

‘Gagau’ mentarang dapat RM300 sehari

SEORANG penduduk menunjukkan hasil mentarang yang diperoleh di Kuala Sungai Baru, Arau, Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pantai Sungai Baru di sini bagaikan pesta dengan ratusan penduduk termasuk remaja yang menggunakan masa terluang sempena musim cuti sekolah meredah pantai berselut hampir dua kilometer ketika air surut, bagi mencari siput mentarang yang memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Kemunculan mentarang atau nama saintifiknya pholas orientalis yang merupakan spesies hidupan laut bercengkerang lazimnya pada Disember sehingga Januari iaitu ketika peralihan ke musim angin timur.

Mentarang biasanya muncul di pantai berselut kira-kira dua kilometer dari tebing pantai berkenaan dengan boleh dijual RM10 hingga RM14 sekilogram yang mana rata-rata pencarinya mampu menjana pendapatan sekitar RM200 sehingga RM300 sehari bergantung kepada hasil tangkapan tersebut.

Difahamkan, sejak tiga ke empat tahun kebelakangan ini mentarang tersebut tidak muncul dan tahun ini hidupan laut tersebut kembali memenuhi kawasan pantai itu.

Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, hampir 200 pencari mentarang termasuk dari luar kawasan Sungai Baru sanggup meredah pantai berselut hampir dua kilometer mencari hidupan laut itu yang menjadi rezeki buat mereka.

Seorang penduduk tempatan, Mohd. Farizul Che Ya,22, berkata, dia tidak melepaskan peluang mencari mentarang yang mampu memberi pendapatan kepadanya.

Katanya, pada sebelah pagi, dia turun menangkap atau ‘menggagau’ mentarang dari pukul 6 sehingga 9 pagi dan 5 hingga 7 petang, seterusnya mampu memperoleh hasil sekitar 50 hingga 60 kilogram dalam tempoh hanya beberapa jam.

“Pada musim ini, kami tidak melepaskan peluang menjana rezeki tambahan dengan menangkap mentarang. Di Kuala Sungai Baru ini bagaikan pesta setiap kali musim kemunculan mentarang ini. Kalau hasil banyak saya mampu menjana pendapatan ratusan ringgit sehari hasil jualannya.

“Kerja mencari mentarang ini mudah tapi terpaksa bermain dengan selut. Kami hanya perlu membawa bekas untuk mengisi mentarang tersebut dan ‘menggagau’ mentarang di dasar pantai ini,” katanya.

Seorang pelajar, Aswan Sanurin,15, berkata, dia bersama rakan-rakan lain mengambil kesempatan musim cuti persekolahan bagi mencari pendapatan dengan menangkap mentarang.

Kata anak ketiga daripada empat beradik itu, dalam sehari, dia mampu menjana pendapatan antara RM100 hingga RM200.

“Kalau hasil yang diperolehi itu lebih banyak, saya mampu mendapat pendapatan lebih banyak. Pendapatan itu, bolehlah digunakan untuk belanja sekolah dan lain-lain selepas ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Ikmal Hisham,16, pula berkata, kebanyakan rakan sekolahnya tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama turun mencari mentarang di Kuala Sungai Baru.

“Dalam tiga ke empat hari mencari mentarang, kami sudah boleh mendapat sehingga ribuan ringgit. Musim ini, mentarang agak banyak dan mempunyai saiz yang agak besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN