fbpx

Fadhlina mula tugas di Kementerian Pendidikan

FADHLINA Sidek

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tiba di bangunan Kementerian Pendidikan di Kompleks E di sini bagi memulakan tugas pada hari pertama. 

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu tiba pada pukul 8.55 pagi dengan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali di lobi bangunan berkenaan. 

Beliau juga sempat bergambar bersama pengurusan kanan sebelum mengimbas kad perakam waktu pada pukul 9 pagi dan seterusnya dibawa naik ke pejabatnya.

Fadhlina, 45, yang berpengalaman sebagai aktivis dan peguam banyak terbabit dalam perkara berkaitan literasi undang-undang keluarga Islam, perlindungan serta keselamatan kanak-kanak selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.

Kerjaya politik beliau bermula pada 2020 selepas menyertai PKR dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, sebelum memenangi pemilihan PKR untuk jawatan Ketua Wanita parti itu pada Julai tahun ini.

Beliau juga adalah Ahli Dewan Negara yang dilantik pada 1 September 2021 bagi mewakili Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Fadhlina merupakan antara 28 menteri Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong,  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kelmarin. 

Kesemua jemaah menteri akan memulakan tugas hari ini dengan agenda pertama adalah mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Anwar. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN