PETALING JAYA: Dua penumpang wanita cedera apabila sebuah bas ekspres merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 457.4 Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, bas ekspres yang membawa 25 penumpang itu dari Taiping menuju Terminal Bandar Tasik Selatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi.
Kata beliau, siasatan mendapati bas tersebut dipercayai cuba mengelak sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori yang mengubah haluan.
“Akibat pelanggaran tersebut, bas dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di lorong kecemasan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Kata beliau, dua penumpang bas yang merupakan wanita warga tempatan berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan ringan berikutan kejadian.
“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan,” jelasnya. – UTUSAN