Dua pegawai kanan Aker bebas, pertuduhan dibatal

Dua pegawai kanan Aker bebas, pertuduhan dibatal

AHMAD Hatta Kamaruzzaman (kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi keputusan permohonan untuk membatalkan pertuduhan. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pegawai kanan Aker Engineering Malaysia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada pertuduhan masing-masing di bawah Akta Syarikat dan menggunakan dokumen palsu.

Timbalan Presiden Kanan Kumpulan Aker Engineering Malaysia, Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, bebas daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu yang terkandung dalam dokumen syarikat.

Sementara itu, Pengarah Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Yusof Ab. Rahman, 55, pula bebas daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi pembaharuan lesen daripada sebuah syarikat minyak dan gas pada 2018.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan kedua-duanya selepas membenarkan permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan.

Mahkamah berpuas hati pertuduhan di bawah Seksen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 yang dikenakan terhadap Ahmad Hatta, tidak berasas.

Hakim berkenaan berkata, pertuduhan itu antara lain menyatakan tertuduh mengelirukan Pendaftar Syarikat melalui pernyataan palsu.

Bagaimana, Hakim Muhammad Jamil berpendapat, pihak yang membuat atau mengesahkan pernyataan itu tidak dinyatakan dalam pertuduhan.

“Pemohon dituduh melakukan kesalahan yang tidak diperuntukkan di bawah undang-undang,” ujar hakim tersebut.

Sementara itu, mahkamah turut mendapati pertuduhan terhadap Mohd. Yusof di bawah Sesyen 471 Kanun Keseksaan, cacat dan tidak berasas.

Ujarnya, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu melalui kakitangan Aker Engineering, Wan Suet Yin.

Hakim itu menyatakan, seksyen itu bagaimanapun tidak memperuntukkan bahawa kesalahan itu boleh dilakukan melalui orang lain.

“Seksyen 471 hanya memperuntukan kesalahan dilakukan oleh tertuduh sendiri. Kesalahan yang dilakukan melalui orang lain tidak diperuntukkan di bawah undang-undang,” ujar Hakim Muhammad Jamil.

Dalam keputusannya, hakim berkenaan bagaimanapun menolak alasan kedua-dua pemohon bahawa pendakwaan terhadap mereka dilakukan atas niat jahat (mala fide).

Beliau berpendapat, alasan itu tidak mempunyai merit kerana mereka gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa pendakwaan itu berniat jahat.

Ujarnya, pihak pendakwaan mempunyai kuasa budi bicara untuk mendakwa Mohd. Yusof dan Ahmad Hatta berlandaskan undang-undang.

Selepas prosiding di Mahkamah Tinggi selesai, pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan kepada dua hakim Mahkamah Sesyen, yang mendengar perbicaraan kes Ahmad Hatta dan Mohd Yusof berhubung keputusan hari ini.

Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob yang merekodkan perintah Mahkamah Tinggi, turut memerintahkan wang jaminan RM10,000 setiap seorang dikembalikan.

Pada 16 November lalu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili pemohon-pemohon manakala Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mewakili pihak pendakwaan.

Pasukan pembelaan menghujahkan, anak guamnya tidak pernah mengelirukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala pendakwaan terhadap Ahmad Hatta bercanggah dengan polisi yang dikeluarkan oleh agensi itu.

Pemohon menyatakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai urusan menyiasat perkara di bawah ruang lingkup SSM kerana agensi itu tidak kompeten atau mempunyai kelayakan berhubung Akta Syarikat.

Sementara itu, pihak pendakwaan berhujah, pertuduhan yang dikenakan terhadap kedua-duanya jelas dan tidak mengelirukan dan perlu dibuktikan menerusi perbicaraan di mahkamah melalui keterangan saksi-saksi.

Ahmad Hatta didakwa mengelirukan Pendaftar Syarikat dengan mengemukakan pernyataan palsu dalam dokumen yang dikehendaki diserah simpan menurut Seksyen 68 Akta Syarikat 2016.

Pernyataan palsu itu merupakan butiran material yang terkandung dalam `Annual Return of Company Having Share Capital Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd.’ bertarikh 19 Mei 2017.

Ahmad Hatta didakwa melakukan kesalahan itu pada Jun 2017 di SSM, Menara SSM@Sentral, No 7 Jalan Stesen Sentral 5, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohd. Yusof melalui Suet Yin, didakwa menggunakan dokumen palsu sama, yang dilampirkan sebagai dokumen sokongan.

Dokumen itu menyatakan tertuduh bukan pemegang amanah bagi pegangan saham dalam Aker Engineering Malaysia bagi permohonan pembaharuan lesen ‘Standardised Work & Equipment Categories (SWEC) melalui Enterprise Buyer Portal.

Tertuduh adalah pemegang amanah Aker Engineering Malaysia Limited untuk pegangan saham Aker Engineering Malaysia Sdn. Bhd.

Mohd. Yusof melakukan kesalahan itu di Tingkat 17, Tower 1, Menara Berkembar Petronas pada 26 April 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya