Dua lelaki warga Myanmar ditahan pecah kedai baju

Dua lelaki warga Myanmar ditahan pecah kedai baju

MOHAMAD FAROUK ESHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki warga Myanmar ditahan dalam serbuan berasingan di Pandan Indah, Ampang dekat sini pada Jumaat lalu dan semalam selepas  dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah masuk sebuah kedai baju.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, kejadian itu disedari pekerja premis pada Jumaat lalu yang mendapati pintu masuk di tingkat satu terbuka dengan mangga dipotong.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati dua lelaki dipercayai warga asing memecah masuk kedai dan melarikan barang di premis itu yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Susulan itu, kami menahan dua lelaki warga Myanmar masing-masing berusia 20 dan 22 tahun dalam dua serbuan berasingan pukul 11.40 pagi, Jumaat lalu serta pukul 1.20 pagi semalam di Pandan Indah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya turut merampas beberapa barang seperti komputer riba, peti simpanan wang, alat perkakas, spanar, pelbagai telefon bimbit, jam tangan berjenama dan alat kawalan jauh kereta mainan dalam serbuan itu.

“Modus operandi suspek adalah menyasarkan premis kedai dan siasatan polis mendapati mereka turut memecah kedai dua kali di daerah ini.

“Semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah,” jelasnya.

Dalam pada itu, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah.

Beliau berkata, suspek pertama direman selama tujuh hari bermula Sabtu lalu sehingga 30 Disember nanti.

“Suspek kedua juga direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 31 Disember nanti.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pecah rumah atau premis dengan melakukan pencerobohan dalam bangunan bagi tujuan melakukan curi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN