PETALING JAYA: Serangan Israel terhadap Iran dan penglibatan langsung Amerika Syarikat (AS) dalam konflik ini merupakan halangan besar kepada pemulihan pasaran, kata TA Securites Holdings Bhd.
Firma pembrokeran berkata, tindakan yang tidak tepat pada masanya ini amat membimbangkan memandangkan dunia sedang menantikan pengurangan kesan tarif serta pemulihan pasaran kewangan pada separuh kedua tahun ini selepas berjaya dalam rundingan perdagangan.
Katanya, keadaan mungkin menjadi lebih buruk sekiranya ia mencetuskan tindak balas yang serius daripada Iran dan sekutunya.
“Penyelesaian secara baik terhadap isu tarif balas oleh AS sepatutnya dapat meredakan satu daripada faktor utama yang menjejaskan pasaran, yang telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kemelesetan di AS dan kelembapan ekonomi global yang teruk,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securites berkata, unjuran asasnya terhadap sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada paras 1,660 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 14.3 kali.
Katanya, ini berdasarkan andaian bahawa tarif yang dikurangkan sekarang akan kekal untuk kebanyakan negara termasuk Malaysia pada kadar 10 peratus.
“Tarikh akhir tarif ini dijangka dilanjutkan sekiranya perjanjian menyeluruh tidak dapat dimuktamadkan tepat pada waktunya dan konflik Israel-Iran pula dapat dikawal dan tidak berpanjangan.
“Kami melihat fasa konsolidasi semasa berikutan lonjakan 200 mata antara April hingga Mei sebagai satu fasa sihat untuk indeks penanda aras ini meneruskan kemajuan sebaik sahaja terdapat kejelasan selepas tempoh gencatan senjata pada suku ketiga 2025.
“Unjuran ini turut mengambil kira kemungkinan yang kecil bahawa negara-negara dagangan utama dapat memperoleh perjanjian yang sama menguntungkan dengan AS, namun beranggapan bahawa konsesi yang telah diberikan mencukupi untuk mengekalkan momentum tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi global secara ketara,” katanya.
Dalam konteks ini, firma berkata, inisiatif Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Russia (OPEC+) untuk meningkatkan pengeluaran dijangka akan menekan harga minyak mentah dan mengawal inflasi, sekali gus mengurangkan ketegasan dasar monetari Rizab Persekutuan AS.
“Namun, jangkaan ini kini terjejas oleh perang antara Israel dan Iran.
“Justeru itu, kami menetapkan unjuran terburuk bagi FBMKLCI pada paras 1,580, menggunakan satu sisihan piawai negatif, sekiranya rundingan tarif tidak mencapai jangkaan dan konflik antara dua musuh utama ini berpanjangan sepanjang tahun tanpa kesan besar terhadap kestabilan serantau dan keselamatan global,” jelasnya.
Tambahnya, bulan lalu, firma mengurangkan sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 Malaysia kepada 4.4 peratus daripada antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus selepas mempertimbangkan kesan tarif AS ke atas negara dan seluruh dunia tetapi optimis dengan berhati-hati bahawa sasaran yang disemak itu dapat dicapai.
Jelasnya, ini disokong oleh penggunaan yang berdaya tahan, pasaran buruh yang kukuh, aktiviti domestik yang teguh dan kemungkinan pemulihan dalam eksport selepas kejayaan dalam rundingan tarif pada kadar yang lebih lemah. – UTUSAN










