Dua bekas kakitangan SUK Pahang mengaku tidak salah ubah suai kandungan penerima darjah kebesaran

Dua bekas kakitangan SUK Pahang mengaku tidak salah ubah suai kandungan penerima darjah kebesaran

MOHD. ISA Mohd. Yusof (baju hitam) dan Muhammad Amer Syafeeq (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua bekas kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan mengubah suai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.

Mohd. Isa Mohd. Yusof, 36, berhadapan 26 pertuduhan memasukkan nama 26 individu pelbagai bangsa termasuk warga asing berusia antara 34 hingga 61 tahun ke dalam laman sesawang berkenaan.

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, pula berdepan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke dalam laman sesawang tersebut. 

Mohd. Isa hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam manakala Muhammad Amer Syafeeq diwakili peguam dan kedua-dua mereka minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Maimoonah Aid. 

Menurut kertas pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab. Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim, kedua-dua tertuduh didapati tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan nama 29 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat DIMP serta SSAP dari Sultan Pahang.

Melalui kertas pertuduhan itu, kedua-duanya dituduh melakukan semua kesalahan itu di Pejabat SUK Pahang yang mana mereka didakwa tahu perbuatan tersebut menyebabkan pengubahsuaian kandungan di dalam sistem komputer tersebut. 

Mohd. Isa didakwa melakukan perbuatan terbabit sebanyak 26 kali bermula pada 19 Februari 2020 sehingga 12 Oktober 2021 manakala Muhammad Amer dituduh melakukan kesalahan sama sebanyak tiga kali bermula 18 Ogos 2021 sehingga 4 Oktober 2021 di Pejabat SUK Pahang. 

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd Isa dan Muhammad Amer Syafeeq. 

Mohd. Isa yang kini bertugas di jabatan lain dikenakan ikat jamin sebanyak RM260,000 dan meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan dia perlu menyara isteri dan dua anaknya selain hanya mampu membayar wang jaminan antara RM10,000 hingga RM20,000.

Mohd. Amer Syafeeq yang dikenakan ikat jamin RM30,000 menerusi peguamnya pula meminta wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh kini hanya bekerja sendiri dengan pendapatan RM500 hingga RM700 sebulan dan perlu menyara seorang isteri yang sedang hamil serta seorang anak. 

Hakim memutuskan 13 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen selain menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan untuk kedua-dua tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.