Doktor kontrak, Kementerian Kesihatan adakan pertemuan minggu depan - Utusan Malaysia

Doktor kontrak, Kementerian Kesihatan adakan pertemuan minggu depan

KUMPULAN doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pada minggu depan bagi membincangkan isu melibatkan pegawai perubatan kontrak dan beberapa tuntutan lain kepada kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakapnya, Dr. Muhammad Yassin berkata, beliau telah dihubungi Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Napsiah Khamis Maharan untuk menetapkan satu perjumpaan bersama doktor-doktor kontrak nanti.

Bagaimanapun katanya, belum ada ketetapan hari dan masa untuk pertemuan yang akan diadakan secara tertutup.

“Setiausaha politik ada hubungi saya nak buat perjumpaan tetapi masanya belum diketahui lagi. Mungkin pada minggu depan.

“Semasa dihubungi, beliau (Napsiah) tanyalah apa yang berlaku antara kami dan Menteri Kesihatan terdahulu, Khairy Jamaluddin kerana sebelum ini kami telah berjumpa beliau dua kali. Jadi, nak tahu apa maklumat diperoleh semasa perjumpaan sebelum ini.

“Jangkaan perjumpaan nanti kita akan melihat isu-isu doktor kontrak seperti perjawatan tetap, Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan pelan jangka panjang Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Napsiah turut mengesahkan kepada Utusan Malaysia beliau ada menghubungi Dr. Muhammad Yassin berhubung perkara tersebut.

“Belum pasti lagi, tetapi perbincangan akan diadakan secara tertutup,” katanya.

Sebahagian dalam kalangan doktor kontrak berdepan masalah dilantik ke jawatan tetap sejak sekian lama, yang menjurus kepada mogok besar-besaran di seluruh negara pada Julai 2021, bagi menuntut hak sama seperti pegawai perubatan lantikan tetap.

Minggu lalu, akhbar ini melaporkan, kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memastikan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara ditubuhkan dalam tempoh lima tahun pentadbirannya.

Hal ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berhubung reformasi kesihatan bagi menangani masalah dihadapi doktor-doktor perubatan yang masih berstatus kontrak.

Pada Ogos lalu, Khairy mempertimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan melalui dokumen Kertas Putih Kesihatan, bagi membolehkan pengurusan lebih terancang khusus untuk meningkatkan jumlah perjawatan serta elaun pekerja di kementerian itu.

Bagaimanapun, rancangan tersebut dijangka tidak dapat diteruskan memandangkan bekas ahli Parlimen Rembau itu tewas dalam PRU15 dan tidak lagi berpeluang memegang sebarang jawatan dalam Kabinet.

Khairy semasa pertemuan sebelum sesi penyerahan Nota Serah Tugas bekas Menteri Kesihatan kepada Menteri, Isnin lalu, berharap supaya pembentangan Kertas Putih Kesihatan diteruskan kerana penting untuk reformasi sistem kesihatan negara.

Kabinet sebelum ini menawarkan penambahbaikan faedah-faedah pegawai perubatan kontrak seperti kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh, tajaan pengajian setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya