DAP yakin Anwar dapat sokongan dua pertiga - Utusan Malaysia

DAP yakin Anwar dapat sokongan dua pertiga

NGA Kor Ming (enam dari kiri) pada perasmian Pusat Khidmat ADUN Kepayang di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat sokongan dua pertiga daripada ahli parlimen dalam usul undi percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri pada pembukaan sidang Parlimen pada 19 Disember ini.

Naib Pengerusi DAP kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, sokongan kepada Anwar amat penting untuk menghantar mesej yang jelas kepada dunia mengenai Kerajaan Perpaduan pimpinan perdana menteri adalah sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

Menurutnya, sehubungan itu beliau menyeru semua ahli parlimen menyokong usul undi percaya itu nanti.

“Undi percaya adalah amalan dalam sistem Westminster dan saya berharap pada Isnin akan datang seluruh ahli parlimen akan memberikan sokongan yang padu kepada Kerajaan Perpaduan yang diperkenan oleh Yang diPertuan Agong ini.

“Ini kerana negara amat memerlukan kestabilan politik supaya kerajaan ini dapat menumpukan fokus untuk memulihkan ekonomi, membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Saya yakin ahli parlimen yang berprinsip akan memberi sokongan kepada Anwar dan saya berharap ia akan mencapai majoriti dua pertiga. Dengan itu negara kita akan mampu menghantar mesej yang jelas di mana Kerajaan Perpaduan ini adalah sebuah kerajaan yang kukuh, padu dan stabil.

“Ini akan membantu usaha kerajaan untuk menarik pelaburan asing masuk dan dapat mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Saya menyeru semua 222 orang ahli parlimen menyokong usul undi percaya itu nanti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang di sini semalam.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang djadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Sebelum ini, Anwar selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lepas berkata, satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Disember ini bagi menamatkan kemelut berhubung soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri ke-10.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menubuhkan pasukan khas bagi menghadapi banjir dan membantu mangsa banjir.

“Secara peribadi saya akan memantau dan memastikan setiap 333 buah balai bomba di seluruh negara dapat membuat persiapan terbaik untuk memastikan banjir seperti tahun lalu tidak berulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN