PETALING JAYA: Usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak wajar dilakukan kerana seolah-olah menidakkan perkenan Yang di-Pertuan Agong memutuskan pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai Perdana Menteri ke-10.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekarang adalah masa untuk bekerja dan kerajaan perpaduan diterajui Anwar wajar diberi peluang membuktikan mereka mampu mentadbir kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung.
Malah katanya, tiada peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian dan sudah memadai dengan keputusan pelantikan Perdana Menteri atas perkenan Seri Paduka seperti mana jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang undi percaya boleh dilakukan selepas tempoh enam bulan atau lebih jika Anwar mahu membuktikan beliau masih mendapat keyakinan dan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Tetapi sekarang tidak sesuai, kerana Perdana Menteri dan Jemaah Menteri baharu sahaja mengangkat sumpah.
“Apatah lagi pelantikan mereka adalah sah dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun terserah kepada kerajaan jika mereka yakin untuk membuktikan bahawa ada mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen,” katanya.
Anwar sebelum ini memberitahu bahawa beliau yakin dengan majoriti dimiliki kerajaan perpaduan dan bersedia menguji keabsahannya di Parlimen pada sidang 19 Disember ini.
Pengerusi PH itu diyakini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti lain termasuk wakil rakyat Bebas.
Mengulas prosedur undi percaya, Wan Junaidi berkata, pengundian itu dilakukan secara ‘perhitungan’ yang bermakna kesemua 222 ahli Parlimen perlu memangkah dalam satu kertas undi, sama ada bersetuju atau sebaliknya, terhadap usul dikemukakan.
Katanya, proses itu tidak dilakukan secara ‘en bloc’ sebaliknya secara perseorangan dengan setiap wakil rakyat perlu mengundi untuk bersetuju atau tidak, terhadap usul undi percaya dan dilakukan secara rahsia di mana ahli-ahli Parlimen termasuk blok kerajaan diberikan kebebasan menyokong atau menolak.
“Ketika pengundian dilakukan, setiap ahli Parlimen perlu memangkah kertas undi dan memasukkan ke kotak diberikan. Setiausaha Dewan Rakyat akan mengira semua undi dan usul akan berjaya jika dapat sekurang-kurang 112 undi atau lebih.
“Dalam soal ini, undang-undang anti lompat parti tidak terpakai jika ahli Parlimen menyokong atau menolak usul ini kerana mereka bukan sertai parti lain tetapi menyokong,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, mengadakan semula Pilihan Raya Umum (PRU) atau pelantikan Perdana Menteri baharu merupakan dua kemungkinan berlaku sekiranya seorang Perdana Menteri itu gagal dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi menguji keabsahannya.
Katanya, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka, beliau hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, peletakan jawatan Perdana Menteri sekali gus bermaksud semua anggota Kabinet turut sama berundur yang bermakna pembentukan kerajaan itu sudah jatuh.
“Undi percaya kepada Perdana Menteri bertujuan memastikan kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, jika gagal dapat majoriti mudah atau kurang, maka usul itu adalah gagal.
“Dalam keadaan ini, Perdana Menteri boleh minta kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen, tetapi jika Seri Paduka tidak perkenan, maka Seri Paduka boleh melantik mana-mana ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN










