Bayi kehilangan bapa selepas 4 jam dilahirkan - Utusan Malaysia

Bayi kehilangan bapa selepas 4 jam dilahirkan

NORLIZA Mohd. Ali memangku Nurhidayah Mohd. Shaiful ketika menerima kunjungan Dzulkarnain Alias di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Tidak sempat mengenali siapa bapanya kerana di­tinggalkan buat selama-lama­nya hanya kira-kira empat jam selepas dilahirkan.

Itu nasib dialami Nurhidayah Mohd. Shaiful yang kini berusia tiga bulan selepas dilahirkan ibunya, Noordiana Ismail, 28, pada pukul 3.45 petang, 28 Ogos lalu.

Norliza Mohd. Ali, 40, yang juga biras Noordiana berkata, bapa Nurhidayah, Mohd. Shaiful Saad, 35, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada pukul 8 malam, hari sama ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom.

Akibat kejadian itu, Noordia­na kini menjaga empat anaknya yang berusia antara tiga bulan hingga sembilan tahun.

“Untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga, Noordiana bekerja di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang dan tinggal bersama-sama ibunya di Kampung Gajah, di sini.

“Bayi ini diserahkan kepada saya untuk menguruskannya pada waktu siang, manakala tiga orang lagi dijaga oleh neneknya termasuk pengurusan persekolahan mereka,” katanya selepas menerima kehadiran Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kluang, Dzulkarnain Alias, di sini.

Walau bagaimanapun, ibu bayi berkenaan tidak berada di rumah kerana masih waktu be­kerja.

Dzulkarnain yang menyampaikan sumbangan berupa susu dan lampin pakai buang turut berjanji untuk mendapatkan bantuan secara tetap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi me­ringankan beban kos hidup keluarga tersebut.

“Bantuan ini amat perlu kerana semakan dengan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati Mohd. Shaiful tidak mempunyai sebarang caruman, manakala Noordiana terpaksa meninggalkan anak-anak kepada saudara terdekatnya untuk bekerja,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib keluarga tersebut boleh menghubungi Norliza Mohd. Ali menerusi talian 017-7071850. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.